
Penyanyi Nicolette Louisa Palikat atau Nikki tampil mendedahkan sudah bercerai dengan komposer, Audi Mok ketika negara berada dalam tempoh pandemik Covid-19 sebelum ini, namun tidak berkongsi hal tersebut kerana memerlukan masa untuk diri sendiri sebelum berkongsi dengan peminat.
Menerusi temu bual bersama Melodi pada Ahad, Nikki menjelaskan dia sama sekali tidak berniat untuk menyorokkan hal tersebut sebaliknya dia memerlukan masa untuk menerima perkara yang menyakitkan itu.
"Bukan senang untuk saya ceritakan perkara ini. Ya, perceraian berlaku ketika pandemik lalu. Pada waktu itu kami sedar lebih baik bercerai dan teruskan hubungan sebagai seorang kawan.
"Sekarang ini, kami lebih baik sebagai kawan sahaja," katanya yang turut menjelaskan punca perceraian tersebut bukanlah disebabkan kehadiran orang ketiga.
Penyanyi kelahiran Sabah itu turut mengakui kegagalan rumah tangga yang dibina selama 12 tahun sedikit sebanyak membuatkan dia tertekan.
"Saya pendam semua perkara kerana tidak mahu anak bersedih tetapi saya lega apabila saya dia terima dengan hati terbuka apabila mengetahui perkara sebenar," katanya.
Terdahulu, Nikki dan Audi berkahwin pada Jun 2009 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Liam yang kini berusia 12 tahun. - CARI
|