Sepanjang empat dekad pembabitannya dalam dunia seni, aktor veteran, Mubarak Majid meraih kemenangan pertama menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress terbitan Buffalo Orange Sdn Bhd di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) 2022 di India, baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro dan Getaran, pelakon lelaki itu cukup bangga dengan penghargaan yang diterimanya dan menyifatkan kemenangan tersebut adalah satu pengiktirafan buat semua yang terlibat dalam bidang seni selama ini.
Mulai menceburi dunia seni dalam bidang pementasan sejak era 70-an, Mubarak kerap kali tercalon dalam pelbagai kategori di majlis anugerah tetapi belum rezeki kemenangan itu belum tiba.
Bagaimanapun, dia tidak pernah berkecil hati. Sebagai pelakon, dia selalu memberikan yang terbaik melaksanakan tanggungjawab yang sudah diberikan.
"Saya diberitahu berkenaan kemenangan ini oleh produksi dan setakat ini belum dapat sijil yang akan diberikan dalam bentuk digital. Ia pengiktirafan buat semua yang terbabit dalam dunia seni.
"Sebelum ini, saya sudah banyak kali tercalon dalam beberapa anugerah dalam negara sendiri tetapi tak pernah menang. Sebab lakonan bukan kita yang menilai. Namun, saya tidak pernah kecil hati sebab lakonan bukan kita yang nilai.
"Sebagai pelakon, kita hanya mampu buat yang terbaik menerusi setiap watak dan peranan yang diberikan," katanya yang juga terpilih sebagai penerima sijil tenaga pengajar dan penggiat industri di majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. -CARI
|