Pasangan penyanyi, Bad Indigo dan Ashira mengumumkan mereka sah bercerai pada petang tadi (23 Jun) selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, kedua-dua selebriti itu enggan mendedahkan punca perpisahan mereka.
Menerusi Instagram Bad, 47, keputusan untuk berpisah itu adalah atas perbincangan dan kata sepakat mereka, namun enggan memperincikan lebih lanjut punca perceraian itu bagi menjaga aib kedua-dua belah pihak.
"Kami tetap akan berkawan sampai bila-bila dan tiada masalah antara kami. Tiada orang ketiga atau keempat atau kelima atau keenam.
"Sebenarnya, apa sebab tak boleh nak cerita pasal apa-apa yang berlaku dalam perkahwinan ini adalah satu aib. Mendedahkan aib walaupun sendiri dedahkan adalah dosa.
"Jadi, hanya Allah yang tahu. Itu yang penting," katanya.
Sementara itu, Ashira menjelaskan, video yang dimuat naik menerusi media sosial itu adalah sebagai makluman kepada umum mengenai status perkahwinan mereka bagi mengelakkan timbulnya cerita yang kurang enak dari pihak lain.
"Nak beritahu dulu sebelum keluar dari mulut orang lain sebab banyak sangat cerita kat luar tak betul. Harap video ini jelas untuk semua orang.
"Saya juga minta maaf kalau ada rakan wartawan yang nak call untuk tanya, kenapa, apa punca, bila... tak perlu kot.
"Yang itu biarlah saya, dia, keluarga dan yang kat atas sahaja yang tahu," katanya.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Badrul Izhan Yeop Abdullah dan Ashira mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu. Bad mengakui jatuh cinta pandang pertama ketika sama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh. - CARI
|