Sejak Mei lalu sehingga ke hari ini, netizen menyedari penampilan pelakon Mona Allen kini sudah baharu. Perkongsian gambar-gambarnya yang berhijab menarik perhatian peminat yang rata-rata memuji imej baharunya itu.
Memetik laporan mStar, pemilik nama sebenar Munna Hafiraneza Allen bagaimanapun enggan membuat apa-apa kenyataan mengenai perkara itu. Dia memilih untuk membiarkan saja netizen membuat andaian sendiri mengenai penampilan dirinya.
Tambahnya lagi, dia sedang memperbaiki diri sebagai salah satu persiapan dirinya yang tidak lama lagi bergelar ibu.
"Saya sebenarnya tak berani nak bagi kenyataan apa-apa mengenai penampilan saya sekarang. Bagi saya, apa yang saya kongsikan itu... itulah.
"Terpulanglah pada netizen nak tafsir sebab tak nak salah faham. Nanti orang ingat saya nak berubah dengan menunjuk-nunjuk. Saya takut kalau salah cakap, nanti lain pula.
"Apa-apapun, minta doa yang baik-baik. Saya pun dalam proses nak perbaiki diri. Nak menjadi seorang ibu dan isteri yang lebih baik," katanya kepada mStar.
Peminat turut mendoakan dan berharap pelakon wanita yang berusia 37 tahun itu terus istiqamah dengan memakai tudung sepenuhnya serta menutup aurat dengan sempurna.
Berkongsi mengenai keadaan dirinya, kata Mona, dia dijangkakan bakal melahirkan cahaya mata sulungnya sekitar September depan.
Menurut isteri kepada Pekin Ibrahim itu, dia juga bersyukur kerana menerima banyak hadiah barang-barang keperluan bayi yang dianggap sebagai rezeki anaknya.
"Alhamdulillah, usia kandungan saya sudah memasuki tujuh bulan. Insya-Allah, saya dijangka bakal bersalin September nanti. Sekarang, saya masih di Johor menemani suami shooting.
"Nanti balik KL, saya dan suami akan cari lagi barang keperluan bayi. Tapi, alhamdulillah saya bersyukur ramai yang menghadiahkan barang baby. Saya anggap rezeki baby dapat macam-macam," ujarnya.
Terdahulu, Mona mendirikan rumah tangga dengan Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim pada 7 Disember 2018. - CARI
|