Pelakon, Redza Minhat menerusi Twitter meluahkan ketidakpuasaan hatinya terhadap satu kenyataan seorang individu yang mengatakan gaji kecil asalkan berkat pasti dapat menampung kehidupan walaupun beristeri tiga.
Agama Islam membenarkan poligami namun ada syarat tertentu yang harus dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang itu terutama sekali sama ada lelaki tersebut mampu bersikap adil terhadap isteri-isterinya serta mempunyai kewangan yang kukuh bagi menampung segala perbelanjaan.
Pemilik nama sebenar Shahredza Minha yang pernah menjadi tunjang filem KIL itu berkata perkara itu sama sekali tidak ada kaitannya dengan agama. Kenyataan seperti itu hanya alasan yang sering digunakan oleh segelintir lelaki Melayu.
"Tidak ada kaitannya dengan agama, ini hanyalah omong kosong yang dikatakan oleh lelaki Melayu.
"Cuba tanyakan pada isteri-isterinya," tulis Redza.
Pandangan yang diutarakan itu menarik perhatian ramai turut sama membidas kenyataan individu berkenaan. Masing-masing mempertikaikan konsep 'cukup' yang dimaksudkan oleh individu yang mengaku mempunyai tiga orang isteri itu.
Ada juga yang mengatakan berkemungkinan ketiga-tiga isterinya itu mempunyai pekerjaan bagi menampung perbelanjaan yang tidak mencukupi apatah lagi barang-barang keperluan pada masa ini semakin meningkat naik.
Bagaimanapun, ada juga yang menyelar pendapat Redza mengenai perkara itu dan menuduh dia tidak mampu untuk memahami konsep qanaah dan keberkatan rezeki.
Tidak hanya mendiamkan diri, Redza yang juga seorang penulis skrip menjelaskan dia cuku memahami bagaimana keberkatan itu penting dalam rumah tangga namun menegaskan bahawa seorang isteri itu juga sebenarnya sudah cukup buat seorang lelaki.
Memuat naik ciapan itu semalam, sehingga artikel ini ditulis, isu berkenaan masih menjadi perdebatan di Twitter. -CARI
|