|
Jempol: Penjenayah 'haprak' apabila tadika Kemas, balai raya dan pejabat Gerakan Persatuan Wanita ( GPW ) FELDA Lui Barat di sini, turut dijadikan sasaran pecah masuk.
Difahamkan penjenayah bertindak menggeledah sebelum melarikan perkakas elektrik, televisyen, set pembesar suara, alat bantuan mengajar, wang tunai dan pelbagai barangan lain.
Pengerusi GPW, Asiah Ali berkata, dia terkejut apabila mendapati pendingin hawa dan dua kipas angin dinding lesap dilarikan pencuri sebaik masuk ke pejabatnya kelmarin.
Katanya, tadika berhampiran premis GPW turut dipecah masuk penjenayah yang bertindak melarikan pelbagai barangan berharga dan alatan elektrik.
"Penjenayah yang menceroboh masuk ketika waktu awal pagi turut melarikan wang berjumlah RM56 milik tadika itu.
"Kami percaya pencuri melakukan kegiatan itu ketika kebanyakan penduduk lena tidur," katanya.
Asiah yang kesal dengan kejadian itu berharap polis dapat menangkap penjenayah yang melakukannya.
Jelasnya laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Air Hitam oleh pengerusi tadika dan seorang penduduk tanah rancangan FELDA berkenaan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-raya-jadi-sasaran |
|