|
Rafizi semakin hampir jadi timbalan
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendahului saingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR bagi empat negeri pada pemilihan parti itu.
Setakat jam 5 petang, keputusan yang diperoleh bagi Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan menunjukkan Rafizi jauh mendahului pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Berdasarkan keputusan yang dikongsikan di laman rasmi keputusan pemilihan PKR, www.pemilihankeadilan2022.com, Rafizi memperoleh undi terkumpul sebanyak 39,816 manakala Saifuddin 29,962 undi.
Di Selangor, secara keseluruhannya menyaksikan Rafizi memperoleh 25,449 undi, lebih jauh mengatasi Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR yang mendapat 22,101 undi.
Rafizi Ramli. - Foto fail NSTP
Rafizi turut menang bagi saingan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Pandan.
Di Melaka, Rafizi menyapu bersih enam cabang PKR di negeri itu dengan memperoleh 2,427 undi berbanding Saifuddin 1,464 undi.
Rafizi menang bergaya di Cabang Masjid Tanah selepas memperoleh 551 undi mengatasi Saifuddin yang hanya memperoleh 33 undi.
Persaingan di Negeri Sembilan turut menyaksikan Rafizi memenangi tujuh daripada lapan cabang PKR di negeri itu. Beliau memperoleh 5,522 undi terkumpul mengatasi Saifuddin yang memperoleh 2,559 undi. Rafizi menang bergaya di Jempol selepas mendapat 505 undi manakala Saifuddin hanya memperoleh 28 undi.
Sementara di Kelantan, Rafizi memperoleh 3,222 undi selepas menguasai 11 daripada 15 cabang di negeri itu manakala 2,132 undi pula diperoleh Saifuddin.
Rafizi juga mengungguli kedudukan di Kedah apabila menang 10 daripada 13 cabang di negeri itu. Beliau memperoleh 3,196 undi, meninggalkan Saifuddin yang hanya memperoleh 1,706 undi.
Sembilan cabang di Kedah yang dimenangi Rafizi adalah Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Jerai, Sik, Sungai Petani, Merbok dan Baling, manakala Saifuddin memenangi cabang Jerlun, Padang Terap, Pendang.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebelum ini memaklumkan seramai 147,334 ahli PKR mengundi dalam pemilihan kali ini atau sekitar 13.17 peratus keluar mengundi dari 1,118,423 ahli yang layak mengundi kali ini.
Ini bermakna, mana-mana calon yang melepasi dulu jumlah 73,667 undi atau melepasi 50 peratus khususnya bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, boleh dianggap menang dalam pemilihan kali ini.
Sebelum ini, bagi jawatan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan itu apabila tiada pertandingan.
Pada 15 Mac lalu, Rafizi mengesahkan kembali ke gelanggang politik serta mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu.
Sebelum ini, Rafizi menamakan antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR sebagai barisan calon dalam 'pasukannya'.
Turut dinamakan, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivanna.
Saifuddin yang tidak membentuk pasukan dalam kempen pemilihan kali ini, dilihat bertumpu kepada kempen di cabang dan negeri.
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencelup jari ke dakwat kekal sebelum mengundi dalam Pemilihan Calon PKR 2022 Cabang Shah Alam ketika tinjauan di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam. - foto BERNAMA
Di Selangor, Saifuddin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari menggerakkan kempennya menerusi hastag - Kita Semua Keadilan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, keseluruhannya pemilihan kali ini berjalan lancar.
"Alhamdulillah, berjalan lancar, tiada insiden yang tidak diingini seperti pemilihan lepas, suasana pun lebih tenang. Keputusan boleh dilihat di laman web Pemilihan PKR," katanya kepada BH.
Pengundian Pemilihan PKR berlangsung 13 hingga 22 Mei lalu secara fizikal manakala pengundian dalam talian mulai 18 hingga 20 Mei menerusi aplikasi ADIL.
Tinjauan ahli PKR Sabah hadir mengundi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 secara fizikal di Golden Hotel, di Sembulan, pada 22 Mei di Kota Kinabalu. - Foto fail NSTP
Mulai semalam, Pemilihan PKR memasuki fasa proses pencalonan bagi calon yang berminat untuk menawarkan diri untuk jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP).
Pencalonan secara fizikal bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, di pusat pencalonan di Ibu Pejabat PKR, Tropicana Petaling Jaya manakala pencalonan dalam talian adalah menerusi aplikasi ADIL yang mana masa pencalonan bermula jam 12.01 tengah malam hingga jam 11.59 malam 31 Mei.
Tempoh pencalonan secara dalam talian pula bermula semalam sehingga 31 Mei ini.
Keputusan pengundian bagi jawatan MPP, MPWP dan MPAMKP akan diumumkan dalam kongres masing-masing sejurus selepas proses pengundian 20 Ahli MPP, 20 Ahli MPWP dan 20 Ahli MPAMKP selesai dijalankan di dalam kongres masing-masing.
Kongres Nasional AMK dan Wanita akan dianjurkan pada 24 Jun depan.
JPP akan mengendalikan pengundian 20 Ahli MPWP dan MPAKP di dalam kongres masing-masing, manakala pengundian 20 ahli MPP akan dilakukan pada 25 Jun di dalam Kongres Nasional PKR.
Semua urusan JPP dan perjalanan JPP adalah menurut Peraturan Pemilihan dan Tatacara Pemilihan Parti Pindaan 21 Februari 2022.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... ampir-jadi-timbalan
|
|