Selebriti berdarah Melayu-Irish, Che Puan Sarimah Ibrahim yang aktif dalam bidang pengacaraan menitipkan pesanan buat mereka yang ingin menceburi kerjaya sebagai hos agar tidak mengamalkan sikap 'syok sendiri' ketika berada di atas pentas.
Memetik laporan Gempak, wanita berusia 44 tahun itu mendedahkan dia pernah berdepan insiden dimaki berkali-kali oleh rakan sekerja ketika mengacarakan sebuah majlis berprestij tanah air suatu ketika dahulu.
Kejadian itu menyebabkan Sarimah sentiasa berhati-hati untuk menerima apa jua tugas pengacaraan yang ditawarkan kepadanya.
"Apabila rakan gandingan kita adalah jenis orang yang syok sendiri atau rasa diri dia lebih hebat, dia akan cuba jatuhkan kita demi kepentingan sendiri.
"Dia maki saya tetapi saya hanya diamkan diri dan tak membalasnya ketika itu. Daripada pengalaman lalu, apa yang boleh saya pelajari adalah agar sentiasa berhati-hati sebelum menerima tugas," katanya.
Walaupun menyifatkan kejadian itu sebagai salah satu perkara sejarah paling buruk sepanjang kerjayanya sebagai pengacara, Sarimah bagaimanapun enggan mendedahkan indentiti rakan pengacara yang dimaksudkan.
Kata figura itu, apabila seorang pengacara itu mempunyai sikap mementingkan diri, secara tidak langsung ia akan merugikan banyak pihak.
"Sikap suka 'menganjing' bukan hanya merugikan produksi tetapi diri sendiri juga akan nampak murah malah akan menyebabkan penonton tidak menghargai kehadiran kita sebagai hos.
"Ia adalah sesuatu yang tak bagus. Semua benda akan ikut 'tenggelam' bersama," katanya. -CARI
|