|
Memperlahankan rentaknya dalam dunia seni hiburan, pelakon Farah Nabilah kini kembali menghiasi kaca televisyen menerusi drama bersiri Scammer 2 yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria.
Memetil laporan Gempak, menjalani penggambaran drama berkenaan pada bulan puasa, Farah juga kali pertama berlakon dalam sebuah drama genre aksi.
"Saya akui memang watak kali ini agak mencabar sebab pertama kali lakonkan karakter sebegitu. Tapi, atas bantuan rakan-rakan pelakon dan pengarah, lama-lama saya okay," katanya.
Tahun lalu, kejayaan Scammer 1 menambat hati penonton membuatkan Farah tertekan apatah lagi terdapat perbezaan ketara antara penceritaan Scammer 2 dengan musim terdahulu.
Walaupun berhadapan cabaran menjayakan rantaian tersebut, Farah bagaimanapun seronok berpeluang untuk bergandingan bersama aktor Beto Kusyairy.
Farah menyifatkan Beto sebagai seorang pelakon yang sangat profesional. Malahan, aktor itu juga tidak lokek berkongsi tips dan memberikan bantuan bagi memantapkan lagi lakonannya.
Mendedahkan cerita pernah menjadi mangsa penipuan penjual barangan dalam talian, Farah menitipkan pesanan buat penonton Scammer 2 agar tidak terlalu mengejar wang ringgit kerana suatu hari nanti ia akan membinasakan kehiduapan sendiri.
"Jangan bertuhankan duit. Apabila kita fikir begitu, memang hanya itu sajalah yang kita pandang. Kehidupan kita juga secara tidak langsung akan berpaksikan pada kebendaan semata-mata," katanya. - CARI
|
|