Menamatkan zaman bujangnya pada Januari tahun lalu, pelakon meningkat naik, Nafiz Muaz yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Diyana Omar pada tahun lalu memperlahankan sedikit rentak kakinya dalam dunia hiburan bagi memberikan fokus pada statusnya sebagai suami.
Berkahwin dengan ahli perniagaan yang juga adinda kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, ramai yang beranggapan bahawa kehidupan Nafiz kini terikat dengan protokol.
"Orang ramai beranggapan kalau berkahwin dengan kerabat diraja atau yang mempunyai pertalian darah dengan mereka akan dikawal semua perkara. Bagaimanapun, apabila saya menjadi sebahagian daripada keluarga mereka, tanggapan sebegitu tidak ada pun. Yang penting kita jujur, ikhlas dan jaga nama baik keluarga.
"Dari dulu saya memang jaga nama baik sendiri dan keluarga. Saya juga tak pernah ambil kesempatan berkahwin dengan adik salah seorang kerabat diraja atau sebaliknya. Saya bekerja keras untuk isteri dan keluarga.
"Saya lebih selesa kalau orang anggap saya bukan orang senang. Bimbang ada pihak yang busuk hati," katanya kepada Media Hiburan.
Berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga kerabat diraja Terengganu baru-baru ini, jejaka berusia 23 tahun itu mendedahkan dia agak kekok ketika pertama kali masuk ke istana.
"Apabila raya, kami menghadap istana kerana ada sesi makan bersama keluarga. Banyak perkara baharu yang saya belajar dan rasa kekok apabila pertama kali menjejakkan kaki ke istana.
"Sebelum berkahwin, saya panggil Sultanah Nur Zahirah sebagai Tuanku tetapi selepas kami sudah menjadi keluarga, saya kini memanggilnya Kak Zahirah dan membahasakan diri saya sebagai Nafiz. Kalau Sultan Mizan pula saya masih menggunakan gelaran Tuanku," katanya.
Walaupun Nafiz bukanlah daripada golongan kerabat diraja, kata Nafiz, mereka menerima kehadirannya apa adanya tanpa memandang status dan darjat. Malahan, ketika makan semeja, Sultanah Zahirah sangat peramah agar pemuda itu selesa dan tidak rasa seperti orang luar. - CARI
|