Sejak industri seni hiburan tanah air dibenarkan untuk beroperasi semula, syarikat produksi serta semakin rancak meneruskan projek yang sebelum ini tertunda gara-gara terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pun begitu, sejak kebelakangan ini stesen-stesen televisyen kembali meriah dengan pelbagai pilihan drama yang menjadi hiburan kepada penggemar karya tempatan. Antara rantaian episod yang sedang menjadi sebutan adalah 7 Hari Mencintaiku musim ketiga, Nusyuz Berkiblat Cinta, Jangan Menangis Cinta dan Dendam Seorang Isteri.
Bagaimanapun, pelakon yang popular pada era 1980-an, Fatimah Yassin berpendapat bahawa karya-karya yangt disajikan pada masa kini lebih banyak menyelitkan unsur negatif melalui paparan watak yang disifatkan tidak sesuai untuk tontonan golongan generasi muda.
Fatimah Yassin (Sumber BH Online)
Memetik laporan Berita Harian, walaupun tidak lagi aktif dalam dunia lakonan kerana mengalami masalah osteoporosis, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama PJ Holdings dan Idaman itu masih lagi mengikuti perkembangan industri yang diceburinya sejak tujuh dekad lalu.
"Sehingga ke hari ini saya masih mengikuti perkembangan dunia seni terutama drama Melayu. Bagaimanapun, saya kurang berkenan apabila sesebuah karya itu banyak menonjolkan paparan watak isteri derhaka terhadap suami.
"Ada adegan isteri melawan cakap dan marahkan suami tapi si suami pula hanya diam membisu walaupun si isteri sudah meninggikan suaranya. Tidak dinafikan ada mesej positif yang cuba disampaikan namun apabila terlalu kerap dipaparkan bimbang menjadi contoh tidak baik terutama kepada generasi muda," katanya kepada BH Online.
Ditanyakan pendapat mengenai penghasilan drama yang berlatar belakangkan dunia korporat, wanita berusia 83 tahun itu memuji usaha yang dilakukan namun berharap agar karya tersebut masih lagi mendapat sentuhan tempatan.
Melihat daripada penulisan skrip, Fatimah menyedari bahawa dialog yang diucapkan bercampur aduk dengan bahasa Inggeris. Begitu juga dengan pemilihan pelakon yang kebanyakannya berwajah pan-Asian.
"Apa yang saya lihat, ramai pelakon pada masa kini yang berwajah pan-Asian. Mereka memang cantik tetapi adakalanya saya keliru kerana pelakon yang membawakan watak sebagai ibu bapa pula berwajah Melayu, anak pula pan-Asian.
"Susah hendak jumpa pelakon yang berwajah Melayu asli. Kalau ada pun mungkin disebabkan pembabitan pelakon senior, " katanya ibu kepada sepasang cahaya mata dan nenek kepada tiga orang cucu itu.
Dalam pada itu, Fatimah turut menitipkan pesanan dan nasihat agar pendatang baharu yang ingin membina kerjaya sebagai pelakon harus belajar menepati masa dan berdisiplin. -CARI
|