View: 372|Reply: 0
|
Kedah kian kesuntukan masa untuk bangkit
[Copy link]
|
|
Sesi latihan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak (dua kiri) di Alor Setar hari ini sebelum menyambut kunjungan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super malam esok. - Foto ihsan FB Kedah Darul Aman FC.
KUALA LUMPUR: Perlawanan berdepan penyandang naib juara liga semestinya menjadi satu perlawanan yang mendebarkan buat mana-mana pasukan, namun tidak pada musim ini kerana segala-galanya jauh berbeza.
Naib juara musim lalu, Kedah Darul Aman FC gagal menepati jangkaan selaku pencabar utama kejuaraan liga musim ini apabila berterusan mencicirkan mata demi mata dan ketinggalan 'bertiang-tiang' dalam perebutan mahkota Liga Super.
Justeru, pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan (NSFC) mungkin boleh menghela nafas lega kerana mereka berpeluang bertemu dengan skuad Kenari yang sedang sakit ketika ini.
Apa yang harus dihadapi Aidil Sharin Sahak ketika ini bukan setakat hakikat pasukan itu hilang mata, malah sudah pasti dia runsing memikirkan mengenai benteng pertahanan yang mudah dibedil pasukan lawan.
Bolos 17 gol secara keseluruhan, namun 15 gol daripadanya menerusi lima perlawanan terakhir, ini satu statistik yang sangat membimbangkan sekali gus menggambarkan betapa rapuhnya pertahanan mereka musim ini.
Lebih merugikan adalah mereka mendahului dalam dua perlawanan terakhir, namun gagal menamatkan perlawanan dengan kemenangan - jadi ini 'lubang' buat skuad Hobin Jang Hobin untuk menghukum Kedah di Stadium Darul Aman, malam ini.
Bahagian serangan sama sekali tidak mendatangkan masalah apabila konsisten 'menggoncang' gawang lawan, namun bahagian pertahanan mungkin berterusan membuatkan Aidil menggaru kepalanya sekali lagi.
Banyak pengajaran yang sudah diperolehi pertahanan mereka dalam beberapa perlawanan sebelum ini, cuma cukup ataupun tidak untuk mengajar mereka, hanya pertahanan sahaja yang tahu.
Memang bulan Syawal belum lagi berakhir tetapi itu tidak bermakna pertahanan Kedah boleh melangsungkan 'rumah terbuka' di hadapan gawang gol mereka sendiri.
Apalah gunanya barisan serangan berhempas pulas menjaringkan gol tetapi barisan pertahanan begitu mudah membuat 'kebajikan' dengan membenarkan pasukan lawan mendapatkan gol demi gol?
Sementara itu, satu lagi aksi membabitkan pertembungan bekas kuda hitam, Penang FC yang ketika ini di tangga tercorot berdepan pasukan kuda hitam musim ini, Sabah FC.
Selepas Penang mencipta kejutan musim lalu sebagai pasukan ketiga terbaik, kali ini giliran skuad Badak yang seakan 'lain macam' selepas mendapat sentuhan bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.
Berada di tempat keempat selepas hanya enam perlawanan, Sabah FC jelas bukan satu pasukan yang calang-calang dan situasi ini pasti menyukarkan misi skuad Harimau Kumbang dalam memburu kemenangan sulung musim ini.
Tonik terbaik buat skuad bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid itu sudah tentulah kejayaan ke suku akhir Piala FA, namun cabaran sebenar menanti mereka adalah bagaimana untuk keluar daripada zon penyingkiran ketika ini.
Persoalannya, mampukah mereka untuk terus cemerlang di Liga Super ataupun kemenangan ke atas Perak FC sebelum ini memberi petanda bahawa tahap mereka ketika ini hanyalah bertaraf Liga Perdana?
https://www.bharian.com.my/sukan ... -masa-untuk-bangkit |
|
|
|
|
|
|
| |
|