|
Pemain Sabah FC, Taiki Kagayama (empat dari kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Kelantan United FC dalam saingan Piala FA di Stadium Likas, malam tadi. STR/MOHD ADAM ARININ
KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya hilang rentak permainan ketika bergelut menentang Kelantan United pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas malam tadi.
Menurutnya keadaan itu disebabkan tekanan dan asakan pasukan Kelantan yang bermain lebih agresif pada separuh masa kedua hingga berjaya menjaringkan gol melalui pemain import, Njoku Jacob.
Kim Swee turut mengakui keputusannya melakukan banyak pertukaran pemain termasuk bagi menggantikan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar dan penyerang N Thanabalan yang baru pulih daripada kecederaan juga kurang menyengat.
"Kita tahu yang Thana, Baddrol baru pulih daripada kecederaan dan mereka tidak bermain 90 minit sebelum ini. Jadi pertukaran itu harus menjadi kelebihan kepada kita di mana saya memasukkan Saddil (Saddil Ramdani), Tommy (Tommy Mawat Bada) dan juga Gary (Gary Steven Robbat).
"Mereka lebih cergas tetapi pasukan Kelantan dengan pemain import yang bernombor sembilan (Njoku) saya percaya adalah pemain terbaik mereka dapat menjaringkan gol penyamaan.
"Itu meletakkan kita dalam tekanan namun kita terus mencuba dan pujian harus diberikan kepada pemain di mana mereka berusaha pada minit terakhir untuk mendapatkan gol," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Pada perlawanan berkenaan, Sabah terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain import dari Jepun, Taigi Kagayama pada minit ke-41.
Bagaimanapun, Njoku menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-67 sebelum Saddil menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan United, Syamsul Mohd Saad, mengakui kesilapan pemainnya antara punca gawang Kelantan dibolosi terutama pada minit ke-41.
Katanya, walaupun mencipta peluang termasuk berjaya menjaringkan gol menerusi Njoku, kesilapan dilakukan anak buahnya menyebabkan misi mereka melakar kejutan gagal.
https://www.bharian.com.my/sukan ... emain-tak-putus-asa |
|