|
nah sinopsis yang tak seberapa la..
kedit: utusan
EPISOD kehidupan peribadi Norman Hakim dan bekas isterinya, Abby Abadi penuh pelbagai warna.
Baik sebelum berkahwin membawa kepada kehidupan berumah tangga sehinggalah ke penghujung perkahwinan mereka, hidup Norman dan Abby diuji dengan banyak dugaan.
Kini, semua itu hanya akan menjadi kenangan dalam lembaran kehidupan mereka.
Sedar tak sedar, sudah hampir dua tahun ikatan suami isteri Norman dan Abby lucut selepas mereka disahkan bercerai pada 18 Disember 2008.
Selama tempoh perpisahan itu, kalau sekali pun mereka bersua, ia hanyalah semata-mata kerana cahaya mata, tidak ada perkara lain yang dibincangkan.
Namun, gelanggang seni menemukan semula pasangan itu. Norman dan Abby digandingkan dalam sebuah drama komedi sempena lebaran yang akan disambut sehari dua lagi.
Orang yang bertanggungjawab membawa kedua-dua pelakon ini ke set ialah sutradara Erma Fatima.
Norman dan Abby berlakon bersama dalam telemovie komedi Sabar yang bakal bersiaran di TV3.
Telemovie terbitan Suhan Movie & Trading Sdn. Bhd. itu sebetulnya merupakan karya pertama yang menggandingkan pasangan itu sejak bercerai.
Hits yang berkesempatan menemui pasangan itu di lokasi sesi pengambaran Sabar di Medan Selera Tanjung Bunga, Ampang Jaya, Selangor baru-baru ini menjadi saksi betapa Norman dan Abby begitu profesional di lokasi.
Biarpun masing-masing pernah memendam rasa akibat amarah, namun apabila berdepan dengan kamera, segala ego, kemarahan dan rasa benci dibuang jauh-jauh.
Namun begitu, kepada Hits, Abby meluahkan rasa hatinya. Katanya, gandingan dia dan bekas suaminya dalam drama berkenaan barangkali menjadi gandingan mereka yang terakhir.
"Menerima tawaran berlakon bersama Norman, pada awalnya saya fikir dapatlah bercakap tentang bajet baju raya untuk anak-anak tahun ini, sayang sekali tidak ada peluang.
"Saya menyesal sebab biarkan kak Erma ambil dia (Norman) berlakon bersama dalam drama ini sebab Kak Erma bertanya kepada saya dahulu sebelum tawarkan watak kepada Norman. Siapa saya hendak sekat rezeki dia pula.
"Dia hanya buat kerja dia dan saya buat kerja saya. Bagaimanapun, kemungkinan besar ini merupakan telemovie terakhir gandingan saya dengannya," kata Abby tanpa berselindung.
Abby bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai alasan dia untuk tidak berlakon di samping Norman.
Dalam telemovie Sabar, Abby dan Norman masing-masing memegang watak Sabariah dan Iman iaitu pasangan suami isteri yang mengusahakan kedai jahitan pakaian.
Berlakon bersama di bulan Ramadan, Abby atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan dan Norman sempat meluangkan masa sebanyak dua kali bersama anak-anak mereka.
Menerusi perkahwinan mereka sebelum ini, Norman dan Abby dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd. Danish Hakim,7, Marissa Dania Hakim,5, dan Maria Danisha Hakim, 2.
Menjelaskan hubungan bersama bekas suami di lokasi penggambaran Sabar seperti keadaan biasa di luar, kata Abby lagi, disebabkan Sabar merupakan kisah komedi tiada apa yang memberatkan fikirannya tatkala menjalani sesi pengambaran itu.
Kasih Norman pada anak-anak
Biarlah apa saja yang mahu diperkatakan sama ada baik atau buruk kerana apa yang pasti Norman tahu di mana kedudukannya.
Ketika segelintir pihak memandang skeptikal padanya, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Meskipun sudah berpisah dengan Abby, Norman berkata, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab pada anak-anaknya.
Hakikatnya, kata Norman, dia dan Abby menjalani kehidupan seperti biasa di luar. Malah, dia sering ke rumah untuk bertemu anak-anaknya.
"Tanggungjawab saya dengan anak-anak hampir setiap hari. Malah, anak-anak juga sudah pandai menelefon saya untuk membawa mereka keluar berjalan.
"Apa yang dikatakan Abby tentang selesaikan apa yang tertunggak sebelum ini pada saya cukup sekadar saya dan Abby yang faham.
"Apa sahaja hala tuju kehidupan saya selepas ini tanggungjawab saya pada anak-anak saya akan pastikan tidak terabai kerana bagi saya kasih sayang itu yang penting," kata Norman enggan mengulas lanjut keluhan bekas isterinya itu.
Sementara itu, aktiviti harian Norman beberapa hari menjelang Syawal lebih banyak tertumpu kepada persiapan pertunangannya pada hari raya keempat.
"Mujur saya ada ahli keluarga yang menguruskan segala persiapan. Doa saya majlis pertunangan saya dengan Memey akan berjalan baik," kata Norman.
Pada wajah Norman terpancar rasa teruja kerana hatinya kini tidak lagi sunyi. Dia sudah ada orang baru yang akan mengisi ruang yang kosong dalam jiwanya. |
|