|
Penyanyi kelahiran Mentor, Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor atau Usop mendedahkan ibunya telah memberikan teguran atas tindakannya berkongsi berita isterinya, Nur Fatihah Md Hashim hamil empat minggu.
Memetik laporan Mstar, ibu Usop beranggapan bahawa perkara tersebut masih terlalu awal untuk dikongsikan pada umum.
Usop mengakui kesilapannya yang mungkin menggores hati mana-mana pasangan yang sedang menanti kehadiran dan berusaha untuk mendapat cahaya mata.
"Rezeki dapat baby ini tidak dirancang sebab isteri memang teringin nak ada anak. Saya kongsikan video itu sebab saya dan isteri gembira nak timang anak. Bagi saya, hal berkaitan anak ini tidak boleh nak rancang.
"Rezeki ini Allah beri. Ada orang yang sudah lama kahwin tapi belum ada anak, rezeki masing-masing. Tetapi saya mengaku kesilapan berkongsi berita terlalu awal. Ibu pun tegur mengenai perkara itu," katanya.
Dalam pada itu, Usop berharap agar orang ramai mendoakan kesihatan isterinya sentiasa dalam keadaan baik apatah lagi wanita itu sedang menjalankan perniagaan makanan di bazar ramadan Seberang Jaya, Pulau Pinang.
"Saya sudah larang dia untuk berniaga di bazar ramadan tetapi dia tetap ingin jual kuih-muih. Jadi, saya bantu dia untuk ringankan sikit kerjanya," kata Usop.
Terdahulu, Usop dan Fatihah bergelar suami isteri pada 4 Februari lalu selepas bertunang pada 4 November 2021. -CARI
|
|