CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 837|Reply: 0

Berilmu dalam beribadat

[Copy link]
Post time 7-4-2022 12:13 AM | Show all posts |Read mode
Berilmu dalam beribadat


GAMBAR hiasan.

Berpuasa ibadat wajib yang hanya ada dalam bulan Ramadan. Jika ada yang berpuasa di luar bulan Ramadan, itu adalah puasa sunat.

Berpuasa dalam bulan Ramadan adalah kewajipan seperti apa yang diwajibkan ke atas umat terdahulu.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Bukan sahaja puasa, dalam bulan Ramadan juga terdapat ibadat lain yang hanya dilakukan pada bulan ini.

Contohnya, membayar zakat fitrah. Ia kewajipan yang perlu ditunaikan da-
lam bulan Ramadan oleh setiap umat Islam serta tanggungan di bawahnya.

Begitu juga dengan solat Tarawih. Walaupun hukumnya sunat, ia amat dituntut kerana hanya ada dalam bulan Ramadan.

Jelas, Ramadan adalah bulan ibadat yang menawarkan ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya menggambarkan keistimewaan Ramadan yang tidak terda-pat pada bulan lain.

“Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Pada bulan ini, masjid dan surau dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat fardu dan kekal mengimarahkan masjid selepas solat Isyak untuk menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Mereka berpuasa pada waktu siang dan memenuhi rumah Allah SWT untuk menunaikan ibadat pada waktu malam dengan pengharapan mendapat ganjaran daripada-Nya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Walau bagaimanapun, setiap ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan perlu didasari dengan ilmu.

Orang Islam tidak boleh melakukan ibadat secara ikut-ikutan tanpa memahami peraturan ditetapkan Islam.

Sebagai contoh, ada orang yang berpuasa kerana orang sekelilingnya berpuasa, tetapi dia meninggalkan solat fardu.

Ibadat puasa itu memang satu kefarduan namun solat lima waktu juga satu kefarduan utama.

Mereka boleh meninggalkan makan dan minum, tetapi tidak mampu meninggalkan sebentar urusan dunia untuk menunaikan solat fardu.

Begitu juga ada orang yang berpuasa, tetapi masih tidak mahu meninggalkan perkara diharamkan seperti berdusta, membuka aib orang lain, bercakap perkataan kotor dan sebagainya.

Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan yang haram, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makanan dan minuman (puasanya tertolak).” (Muttafaqun ‘alaih)

Ada juga orang berpuasa, tetapi tidak bersahur. Mereka berasa tanpa sahurpun boleh berpuasa.

Pemahaman itu salah dan perlu diperbetulkan. Ia bukan hanya membabitkan soal kemampuan, tetapi lebih bersahur itu adalah ibadat yang dituntut kerana padanya ada keberkatan.

Rasulullah SAW bersabda: “Makan sahurlah kalian kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Muttafaqun ‘alaih)

Berkaitan dengan amalan sunat juga, ada orang yang tidak memahami tuntutan agama dalam perkara sunat.

Solat Tarawih adalah antara solat sunat. Begitu juga solat rawatib iaitu solat sunat yang mengiringi solat fardu sama ada qabliyah ataupun ba’diyah.

Jenis solat sunat juga ada tingkatan dan keutamaannya. Ada orang yang solat Tarawih, tetapi meninggalkan solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak (ba’diyah Isyak).

Dalam Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (jilid 27, halaman 139) dinyatakan menurut Mazhab Shafi’i, lebih tepat difahami bahawa solat sunat rawatib iaitu solat sunat yang mengiringi solat fardu lebih utama dilakukan daripada solat Tarawih.

Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat rawatib. Itu antara ilmu yang perlu difahami umat Islam.

Ibadat tidak boleh dilakukan mengikut logik akal sendiri. Ia perlu berdasarkan tuntutan agama dengan panduan diberikan oleh Rasulullah SAW.

Begitu juga dalam hal tadarus al-Quran. Ada orang mengejar khatam sehingga tidak mengikut tatacara tadarus yang betul.

Tadarus al-Quran membabitkan dua pihak iaitu ada yang membaca al-Quran dan ada pula yang menyemak bacaan.

Bacaan yang salah perlu diperbetulkan. Namun, oleh kerana ingin cepat khatam, juzuk al-Quran dibahagikan sesama beberapa individu, lantas masing-masing membacanya secara bersendirian.

Akhirnya, mereka mengiktiraf amalan itu sebagai tadarus al-Quran. Daripada Ibnu Abbas, dia berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling murah hati, lebih-lebih ketika bertemu Jibril pada bulan Ramadan. Baginda bertemu Jibril pada pada setiap malam bulan Ramadan untuk tadarus al-Quran.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Itulah sunah yang ditunjukkan Rasulullah SAW tentang amalan tadarus. Baginda bertadarus al-Quran bersama Jibril bagi tujuan menyemak ayat al-Quran yang diterima oleh Baginda SAW.

Rebutlah peluang kehadiran Ramadan dengan menggandakan amal ibadat. Ramadan adalah bulan mulia yang dikenali sebagai penghulu segala bulan.

Setiap ibadat yang dilakukan perlu didasari ilmu yang betul supaya amalan tidak menjadi sia-sia.

Buatlah ibadat dengan ilmu serta mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, bukannya untuk dipandang mulia manusia.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... lmu-dalam-beribadat

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 05:41 AM GMT+8 , Processed in 0.037794 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list