Sempadan negara sudah dibuka sejak 1 April lalu, namun aktor kelahiran Singapura, Hisyam Hamid reda menyambut Ramadan jauh dari isteri dan anak-anaknya kerana masih terikat dengan jadual kerja yang padat.
Menerusi laporan Mstar, walaupun rindu untuk menyambut ketibaan Ramadan bersama keluarganya, Hisyam bagaimanapun terpaksa menangguhkan niatnya untuk pulang ke Singapura.
"Apabila sempadan negara dibuka, ia sepatutnya memudahkan saya untuk pulang ke Singapura untuk bertemu dengan keluarga.
"Namun, saya terpaksa tangguhkan hasrat kerana jadual kerja yang padat. Ini tahun kedua saya berpuasa jauh dari keluarga dan saya tak boleh buat apa-apa. Inilah pengorbanan yang saya lakukan.
"Bagaimanapun, saya bercadang untuk pulang ke sana seminggu sebelum raya, " katanya yang kali terakhir pulang ke Singapura pada Disember lalu.
Sejak seluruh dunia dilanda wabak Covid-19, hanya tiga kali sahaja pelakon itu dapat balik bertemu dengan keluarganya. Malahan, dia pernah menanggung rindu selama 13 bulan kerana kesukaran untuk bertemu dengan mereka.
"Walaupun ada alat teknologi yang canggih untuk komunikasi tetapi rasa itu tidak sama seperti berada di depan mata.
"Adakalanya saya rasa down dan perlu teman berbual tetapi semua itu hanya dapat dilakukan menerusi panggilan telefon atayu video sahaja.
"Sejujurnya, berjauhan dengan keluarga memberikan cabaran bukan terutama sekali mental," katanya.
Terdahulu, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati Hanafi pada September 2006. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah dan Hayden. - CARI
|