Tiga hari lalu, Pejoy Yahaya yang bertanggungjawab sebagai penata gaya di lokasi penggambaran drama Nenda memuat naik video di TikTok memaparkan dirinya yang sedang menggayakan tudung yang dipakai oleh aktres veteran, Fauziah Nawi.
Walaupun ia adalah sebahagian daripada tugasnya yang menjaga gaya penampilan pelakon berdasarkan watak serta babak, pun begitu tindakannya membetulkan tudung terutama pada bahagian dada pelakon wanita itu disifatkan sebagai tidak menjaga batas.
Ruangan komen pada perkongsian berkenaan dipenuhi dengan teguran serta kecaman terhadap dirinya yang sepatutnya arif mengenai batas antara wanita serta lelaki yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah.
Menyedari sebahagian besar maklum balas diterima adalah luahan rasa kurang senang melihat perkara itu, Fauziah tampil menjelaskan sekali gus mempertahankan Pejoy.
Menerusi satu lagi hantaran yang dimuat naik oleh Pejoy di akaun TikTok miliknya, Fauziah memohon maaf sekiranya perkara berkenaan telah menyinggung perasaan mana-mana pihak.
"Stylist dan make-up artis ini selalunya lelaki. Jarang dapat perempuan. Dah mereka yang dapat job ini, saya sebagai pelakon tak boleh nak cakap apa. Walaupun mereka lelaki tetapi mereka tahu jaga adab. Dah tersentuh tu nak buat macam mana.
"Tak tahulah nak cakap apa. Minta maaflah kalau itu menyinggung perasaan semua orang. Saya minta maaf," katanya yang turut disarankan agar memakai tudungnya sendiri bagi menjaga batas. - CARI
|