|
Wanita berusia 25 tahun ini iaitu Wanna Ali terlebih dahulu memulakan karier seninya sebagai penyanyi. Namun, dia yang menggemari genre R&B serta Jazz sedar bahawa muzik sebegitu sukar mendapat tempat dalam kalangan penggemar muzik tempatan.
Pemilik nama sebenar Syazwana Mohd Ali itu berkata dia enggan menghasilkan lagu jika ia sekadar dibuat untuk memenuhi pasaran muzik tanah air.
Berdasarkan laporan Mstar, perkara itu menyebabkan Wanna memilih untuk terus mengembangkan kerjayanya sebagai pelakon.
"Semakin meningkat dewasa, kita lebih tahu ke mana arah tuju dalam hidup. Disebabkan rezeki dalam lakonan lebih menyerlah maka saya teruskan dalam bidang itu," katanya.
Merakamkan lagu Pandu Lalu yang menjadi runut bunyi bagi filem Autumn In Wales, kata Wanna, lagu berkenaan dibuat khas untuk karya berkenaan.
"Lagu itu adalah soundtrack khas untuk filem berkenaan. Walaupun sekadar ost, saya harap ia mendapat tempat di hati pendengar," katanya yang turut berlakon dalam filem terbabit. - CARI
|
|