Pelakon Nad Zainal, 32, bukanlah seorang aktres yang perlu diperkenalkan secara terperinci kepada umum. Lakonan wanita itu sendiri pun sudah lebih dari cukup untuk menceritakan kredibilitinya sebagai seorang pelakon.
Memegang watak sebagai Kirana menerusi drama Dendam Seorang Isteri adaptasi Temptation of Wife iaitu karya asal dari Korea, Nad mempunyai cara tersendiri untuk mencorakkan karakter berkenaan.
Meminati siri berkenaan, pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin itu tahu bahawa setiap pelakon apabila berlakon dalam drama adaptasi harus mempunyai 'twist' tersendiri bagi mengembangkan perjalanan sesebuah karakter tersebut.
"Saya peminat nombor satu drama itu tetapi versi Filipina. Saya dapat inspirasi daripada versi terdahulu namun ia bukanlah rujukan utama untuk menjayakan watak Kirana.
"Bagi saya, setiap watak yang diterjemahkan itu mempunyai corak acuan sendiri. Twist karakter berkenaan harus ada dalam diri," katanya kepada Harian Metro.
Mengulas watak wanita pemusnah kebahagiaan hubungan pasangan lain dalam drama itu, kata Nad, dia menyifatkan ada alasan kukuh yang menyebabkan dia bertindak untuk meruntuhkan rumah tangga adiknya.
"Bukanlah saya menyokong perbuatan Kirana tetapi situasi sebegitu wujud dalam realiti kehidupan harian. Dia membesar dalam suasana toksik menyebabkan dia menjadi seorang yang pendendam. Sebab itulah saya tak anggap watak Kirana itu jahat atau antagonis," katanya. - CARI
|