Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Love You Mr. Arrogant iaitu Azlee Khairi bersyukur kerana isterinya, Nurul Hidayah memahami kerjaya seninya.
Bukan itu sahaja, wanita itu juga menjadi tulang belakang serta pembakar semangat buat dirinya untuk terus bekerja keras.
Memetik laporan Gempak, pelakon sentiasa terikat dengan jadual penggambaran yang banyak memakan masa dan adakalanya bekerja sehingga ke subuh. Perkara ini andai tidak ada persefahaman pasti akan menimbulkan perselisihan faham di antara pasangan suami isteri.
"Alhamdulillah, isteri saya sangat memahami. Orang yang tidak memahami mungkin tidak boleh terima jadual kerja seperti itu dan akan jadi isu.
"Berlakon ini lebih memakan lebih banyak masa jika dibandingkan bersama keluarga. Sebab itu saya akan habiskan masa sepenuhnya dengan keluarga setiap kali ada masa terluang," katanya
Menyentuh mengenai sikap Nurul Hidayah selepas setahun bergelar suami isteri, kata Azlee, isterinya adalah seorang ibu yang baik dan boleh menjaga rumah tangga dan keselesaan mereka sekeluarga.
"Bukan sekadar saling memahami tetapi macam ada telepati. Apa yang saya fikirkan mesti dia fikir perkara yang sama. Kadang-kadang kami bercakap pun ada ayat yang sama," katanya.
Mengadakan majlis resepsi mereka semalam (Ahad), ia adalah kali pertama mereka sekeluarga berkumpul dalam majlis sedemkian dan berharap agar kebahagiaan rumah tangga itu menjadi milik mereka buat selamanya.
Terdahulu, Azlee berkahwin dengan Nurul Hidayah pada Januari tahun lalu. Majlis pernikahan itu hanya dijalankan menerusi atas talian dan membabitkan keluarga sahaja. Ia adalah kerana Azlee mempunyai masalah peribadi yang enggan didedahkan. - CARI
|