CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 462|Reply: 0

[Kedah] Penanaman ketum kembali berleluasa

[Copy link]
Post time 9-3-2022 11:38 AM | Show all posts |Read mode

Permintaan dan harga tinggi di negara jiran menyebabkan ramai pemilik tanah menanam pokok ketum di Kedah, termasuk menggunakan sistem saliran dan alat penyiram air automatik. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

ALOR SETAR: Kegiatan penanaman pokok ketum didapati kembali berleluasa di negeri ini apabila semakin banyak tanah pertanian milik penduduk tempatan kini ditanam dengan tumbuhan itu dan diusahakan secara berskala besar dan terbuka.

Malah, tinjauan BH mendapati ada kebun ketum diusahakan secara moden dan sistematik, termasuk mempunyai sistem saliran serta alat penyiram (sprinkler) automatik, yang dipasang di kawasan tanaman pokok ketum bagi memastikan daunnya tidak kering.

Kegiatan penanaman pokok ketum reda sedikit pada 2019, selepas kerajaan Kedah memberi amaran akan merampas tanah milik penduduk yang digunakan untuk menanam pokok ketum.

Bagaimanapun, selepas Thailand membenarkan penjualan bahan itu secara terbuka bermula Ogos tahun lalu, ia mendorong peningkatan mendadak pengeluaran daun ketum Malaysia sehingga tiga kali ganda, sekali gus menyebabkan harganya turut melambung.


Ketika ini, harga ketum di pasaran negara jiran itu dilaporkan mencecah lebih RM150 sekilogram dengan daun ketum yang diseludup dari Malaysia menjadi pilihan kerana dikatakan mempunyai rasa lebih 'padu' dan kesannya lebih lama kepada penagihnya.

Ia mengakibatkan kegiatan penyeludupan ketum melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand terus meningkat seperti dilaporkan pihak berkuasa yang mengawal kawasan berkenaan.

Pada masa sama, harga jualan ketum di pasaran tempatan turut naik antara 20 hingga 30 peratus akibat peningkatan kawalan sempadan oleh pihak berkuasa sejak lebih dua tahun lalu, menyukarkan bahan terlarang diseludup masuk ke negara ini.

Akibatnya, harga ketum pasaran tempatan yang sebelum ini antara RM15 hingga RM20 sekilogram kini mencecah antara RM25 hingga RM30 bergantung kepada jenisnya dengan ketum urat merah dikatakan lebih mahal dan paling popular.

Tinjauan BH di daerah negeri ini yang bersebelahan dengan sempadan Thailand, mendapati pemilik ladang ketum kini semakin berani menanam tumbuhan itu termasuk berdekatan rumah mereka, selain di kawasan terletak di laluan utama.

Pemilik kebun dipercayai menggunakan pokok buah-buahan seperti tanaman pisang yang ditanam rapat pada bahagian hadapan bagi mengelak kegiatan mereka menanam ketum di bahagian belakang dikesan pihak berkuasa.

Bagi ladang ketum di kawasan berbukit pula, pemilik ladang turut 'melabur' ribuan ringgit bagi memasang sistem saliran dan alat penyiram air automatik bagi memastikan pokok dapat hidup subur serta mengeluarkan hasil yang banyak.

Bekalan air pula dipercayai dipam menggunakan set generator dari kolam takungan yang dikorek berdekatan ladang sebelum disalurkan menggunakan paip poli berwarna hitam.

Bagi menguruskan ladang, pemilik ladang ketum dipercayai turut mengupah pekerja warga asing yang tinggal di rumah kongsi bagi melakukan kerja memetik, merebus dan membungkus air ketum sebelum dijual.

Seorang penduduk tempatan hanya mahu dikenali sebagai Aiyok, 46, mendakwa kebun ketum seluas kira-kira lima relung atau 1.4 hektar mampu memberi pulangan lebih RM3,000 sebulan kepada pemiliknya.

"Harga ketum naik secara berterusan menyebabkan ramai berminat menanamnya.

"Ada pesawah turut menukar tanaman mereka disebabkan harga baja dan racun untuk padi sangat mahal sehingga kadang-kadang kami rugi dan tidak balik modal selepas jual hasil tuaian.


Permintaan dan harga tinggi menyebabkan semakin ramai petani menanam pokok ketum.

"Lebih baik tanam pokok ketum, tak susah sangat nak menjaga, tak perlu baja dan racun. Cuma ketika musim panas kena jaga air dan selalu siram, jika tidak daun keluar tidak elok," katanya.

Aiyok mendakwa, bagi penduduk kampung menanam pokok ketum bukan kesalahan besar kerana jika hanya bergantung kepada hasil sawah atau hasil kebun buah-buahan sahaja, ia tidak mencukupi bagi menyara keluarga mereka.

"Ada (penduduk kampung) yang tanam sedikit, ada yang tanam secara luas. Kadang-kadang tidak ada orang mahu beli daun ketum juga, macam tahun lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua orang duduk rumah.

"Pada masa dulu yang selalu datang cari (beli) orang dari seberang (Thailand) kerana harga lebih mahal di sana, tetapi sekarang orang Malaysia pun ramai datang masuk ke kampung cari daun ketum," katanya.

Pada 2019, akhbar ini pernah mendedahkan sekurang-kurangnya empat daerah di Kedah dikesan menjadi kawasan penanaman ketum yang dipercayai terbesar di negara ini dengan keluasan mencecah lebih 100 hektar.

Padang Terap, Kubang Pasu, Yan dan Sik dianggarkan mampu mengeluarkan sehingga 180 tan daun ketum dengan nilai pasaran mencecah RM3 juta bagi setiap kali tuaian.

Penanaman ketum dikhuatiri jadi 'industri', sukar dibanteras

Kegiatan penanaman ketum dikhuatiri menjadi 'industri' yang sukar dibanteras di negara ini, khususnya di Kedah kerana mendapat permintaan dan harga yang tinggi, sekiranya kerajaan gagal menggariskan undang-undang yang jelas membabitkan tumbuhan itu.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) 1 Kota Setar, Dr Zaki Zamani Abd Rashid, berkata setakat kini, undang-undang yang sedia ada tidak melarang penanaman pokok ketum, tetapi penggunaan tumbuhan itu disenarai mengikut Akta Racun 1952.


Dr Zaki Zamani Abd Rashid.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan orang ramai terutama petani, tidak takut untuk terus menanam ketum kerana tahu hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka tidak berat seperti kesalahan menanam pokok ganja.

"Kita bercakap mengenai isu ketum ini sudah bertahun, tetapi sehingga hari ini belum ada undang-undang ketat bagi mengawalnya sedangkan masalah sosial yang timbul akibat ketagihan ketum ini sentiasa ada.

"Bila petani kini berani mengusahakan ladang ketum secara sistematik, maknanya kegiatan ini tidak mustahil akan jadi seperti industri suatu hari nanti kerana tiada kawalan pihak berkuasa," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Dr Zaki berkata, permintaan kepada bahan bersifat khayal termasuk dadah akan sentiasa tinggi terutamanya jika harganya dianggap murah serta mudah didapati.

"Kita perlu ada kesungguhan politik bagi mengubah keadaan ini, hendak mengatakan polis atau pihak berkuasa lain tidak bertindak, mereka tidak ada kuasa perundangan yang jelas bagi melakukannya.

"Masalah ketum dalam masyarakat berlaku sepanjang masa, ada pelajar sekolah alami ketagihan sehingga tidak boleh belajar dan ada orang dewasa yang ketagih tidak boleh bekerja," katanya.

Mengenai kajian yang dilakukan penyelidik mendapati ketum mampu merawat masalah ketagihan dadah, beliau menegaskan, perkara itu tidak dapat dibuktikan melalui penyelidikan saintifik, selain tiada ujian klinikal pernah dilakukan.

"Kajian ini hanya dilakukan pihak tertentu di peringkat universiti sahaja, ketum tidak pernah sampai sehingga ke peringkat ujian klinikal atau ujian ke atas manusia, maka kemampuannya tidak dapat dibuktikan sama sekali.

"Sama juga yang terjadi kepada tongkat ali yang dikatakan boleh merawat penyakit tertentu, tetapi tiada ujian klinikal tepat dibuat maka herba itu kekal menjadi makanan tambahan dan tidak boleh dianggap sebagai ubat," katanya.

Jelasnya, jika ada pihak mahu ketum ditanam bagi tujuan penyelidikan seperti yang dilakukan ke atas hemp, maka perlu ada undang-undang terlebih dahulu bagi mengelak ia disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 02:22 PM GMT+8 , Processed in 0.045152 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list