|
|

Persembahan Aisha Retno menyampaikan lagu berjudul Kesetiaan nyanyian asal Allahyarham Siti Sarah Raisuddin membangkitkan rasa sebak dalam kalangan penonton termasuk juri program pertandingan Big Stage 2022 yang berlangsung malam semalam (Ahad).
Ketika kamera dihalakan kepada barisan juri, kelihatan Datuk Seri Siti Nurhaliza sedang menyeka air matanya. Malahan, ketika Aliff Satar selaku pengacara bertanyakan keadaannya, penyanyi nombor satu negara itu sambil menahan emosinya hanya mampu menjawab dia terkenangkan arwah Siti Sarah.
Katanya kepada Mstar, dia gagal menahan air mata dan mengawal emosi tatkala mendengar lagu berkenaan kerana karya itu terlalu dekat dengan arwah.
"Apabila mendengar lagu itu, saya terus teringat arwah. Saya tak boleh fikir dengar suara orang lain. Arwah adalah seorang penyanyi yang bagus, bekerja keras dan sentiasa merendah diri.
"Bagaimanapun, saya dalam situasi ini, saya tetap menilai penyanyi dengan bakat besar yang akan meneruskan legasi penyanyi sedia ada. Itulah yang membuatkan saya sebak.
"Sarah pergi ketika pandemik, kami sama-sama sedang hamil. Dan saya juga bersalin dalam situasi Covid-19 tapi Allah lebih menyayanginya. Itulah yang membuatkan saya lebih teringat arwah," kata penyanyi yang mesra disapa sebagai Tokti itu.
Tidak hanya Tokti, komposer dan pemuzik Ajai juga jelas sedang mengawal emosinya. Dia turut mengajak semua yang berada dalam dewan konsert tersebut mendoakan kesejahteraan Allahyarham Siti Sarah.
"Mari kita sedekahkan al-Fatihah untuk arwah," kata Ajai sebelum memberikan komen terhadap persembahan Aisha.
Sumber YouTube Shaff Empire
Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19. -CARI
|
|