|
|

Penyampai radio Hot FM, AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat mengesahkan bapanya, Selamat Ipan, 76, meninggal dunia akibat Covid-19 di rumahnya di Johor Bahru pada jam 3 pagi, hari ini (Sabtu).
Memetik laporan Harian Metro, bapanya disahkan positif wabak itu semalam bagaimanapun ketika arwah kelihatan baik-baik sahaja ketika AG membuat panggilan video.
"Kami dapat tahu bapa positif semalam. Keluarga bawa pergi klinik dan semuanya okey. Petang semalam buat panggilan video bapa senyum gembira dan nampak sihat. Bagaimanapun, jam 3 pagi tadi dia sudah tiada. Bapa meninggal dunia dalam tidur.
"Saya reda. Sekarang jenazah di rumah di Johor Bahru," katanya.
Terdahulu, AG memaklumkan perkara itu menerusi kiriman mesej.
"Assalamualaikum, dukacita dimaklumkan, ayahanda saya, Haji Selamat Ipan telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi jam 3 pagi. Moga roh Allahyarham ayahanda saya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama kekasih Allah. Al Fatihah," katanya.
Al-Fatihah. - CARI
|
|