Usaha pihak berkuasa dan penduduk setempat untuk mengeluarkan tayar yang tersangkut pada seekor buaya di Palu, Sulawesi Tengah akhirnya berjaya.
Difahamkan, tayar tersebut sudah tersekat pada badan buaya itu yang dikenali dengan jolokan ‘buaya berkalung tayar’ atau B3 sejak 2016.
Gambar bertarikh 20 September 2016 menunjukkan tayar tersekat pada seekor buaya di Palu, Sulawesi Tengah. - AFP
Tayar itu berjaya dikeluarkan seorang lelaki dikenali sebagai Tili berasal dari Sragen, Jawa Tengah.
Ketika ditemui media, Tili menceritakan dia terlebih dahulu menangkap anak buaya berkenaan sebelum mengumpannya dengan 35 ekor ayam dalam tempoh tiga minggu.
“Saya juga gunakan sejumlah burung merpati sebagai umpan untuk menangkap buaya itu, selain tali sepanjang 300 meter.
“Alhamdulillah, usaha saya berhasil dan tayar itu berjaya dikeluarkan dari buaya berkenaan dan selepas itu kami bebaskannya semula ke dalam sungai,” katanya.
Aksi Tili disaksikan oleh orang ramai yang berkumpul di Jambatan Palu, Tatura Selatan.
Pelbagai pihak termasuk pasukan dari luar negara cuba mengeluarkan tayar itu dari haiwan tersebut namun menemukan kegagalan.
Antaranya termasuk hos rancangan National Geographic, Matt Wright dan pengacara Extinct or Alive on Animal Planet, Forrest Galante.
Sumber: Utusan |