|
KANGAR: Menjelang Tahun Baharu Cina, dekorasi berasaskan kaligrafi Cina sering menjadi pilihan masyarakat Tionghua sebagai satu bentuk hiasan bagi memeriahkan suasana perayaan.
Malah, kesenian Cina ini diserikan dengan perkataan yang menggambarkan harapan yang baik dalam mengharungi kehidupan seharian.
Dalam hal ini, penggiat kaligrafi Cina, Khoo Tze Yong, 62, terus memperkasa khazanah kesenian Cina ini, dengan mempamerkan kaligrafi Cina sebagai hiasan di jenang pintu atau dinding rumahnya.
"Saya mula meminati kesenian kaligrafi Cina ini sejak di bangku sekolah iaitu ketika menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min, Alor Setar. Ia bukan sekadar bentuk penulisan pada kertas tetapi satu kesenian yang memerlukan penghayatan dalam menulis setiap huruf kaligrafi Cina.
"Menulis kaligrafi Cina memerlukan kepakaran yang tinggi kerana ia hanya boleh ditulis pada kertas berwarna putih atau merah dan bagi perayaan Tahun Baharu Cina ini, kertas berwarna merah lebih sesuai digunakan.
"Menulis kaligrafi bukan mudah kerana seseorang itu memerlukan batang berus yang sesuai serta dakwat hitam untuk menulis di atas kertas berwarna dan paling unik, kaligrafi Cina perlu ditulis secara berdiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Berlian, Kuala Perlis, di sini.
Tze Yong berkata, sambutan Tahun Baharu Cina bagi dirinya dan isteri, Ng Lay Tuan, 61, yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, tidak lengkap jika tidak menghias rumah mereka dengan keindahan seni kaligrafi Cina.
"Adalah penting untuk memikirkan kandungan yang akan ditulis pada kertas berwarna merah kerana lazimnya ia membawa maksud yang baik kepada seseorang individu dari segi kesihatan, keselamatan, kemakmuran dan dipanjangkan usianya.
"Secara tradisinya, hiasan kaligrafi Cina ini hanya digantung pada musim Tahun Baharu Cina dan tidaklah digantung ketika majlis perkahwinan atau keramaian lain.
"Dari segi kata yang ditulis sebagai hiasan kaligrafi Cina untuk Tahun Baharu Cina ini, ia terdiri daripada maksud dalam bahasa Mandarin seperti 'Fu' yang membawa maksud kemakmuran, 'An' (selamat), 'Kang' (sihat) dan 'Shou' (panjang usia)," katanya.
Dia berkata, kebanyakan perkakasan untuk menulis kaligrafi Cina dibeli di sebuah kedai alat tulis di Pulau Pinang kerana ia sukar untuk didapati di Perlis.
"Selain itu, masyarakat Cina sangat sinonim dengan warna merah kerana ia memberi makna berkisarkan keberanian dan kekuatan. Disebabkan itulah seni kaligrafi ini ditulis menggunakan kertas berwarna merah.
"Peralihan zaman membuatkan seni kaligrafi ini juga sudah berubah apabila ia banyak dijual di kedai dan pasar raya yang sedia untuk ditampal atau digantung di rumah," katanya.
Tze Yong yang juga bekas pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis di Arau antara tahun 1988 hingga 1992 kini banyak mengajar seni kaligrafi itu di sebuah tokong Cina di Padang Besar bagi memastikan kesenian itu tidak luput dek zaman.
"Saya lihat walaupun ada generasi muda yang masih berminat dengan seni kaligrafi ini, pada amnya tidak ramai yang mahu memperkasakannya tetapi kini terdapat individu dari masyarakat bukan bangsa Cina terutama yang tinggal di Kuala Lumpur sudah mula mahu mempelajari seni kaligrafi ini.
"Di Perlis, kebanyakan pelajar saya yang sedang belajar seni kaligrafi Cina ini terdiri daripada individu berusia lebih 40 tahun," katanya.
Penulis kaligrafi Cina, Khoo Tze Yong, 62, menulis kata-kata indah dengan seni kaligrafi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di rumahnya. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|