PETALING JAYA: Tiga NGO yang memfailkan saman mengenai keabsahan sekolah vernakular memfailkan rayuan mereka minggu ini selepas kes itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi bulan lalu.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) berkata mereka telah mengarahkan peguam memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Kami berharap rayuan ini akan dapat memperjelas kedudukan isu perlembagaan, dan tidak dijadikan sebagai isu perkauman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata mereka.
Bulan lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Ghazali memutuskan bahawa penggunaan bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah vernakular adalah mengikut Perlembagaan.
“Sekolah-sekolah ini bukan entiti awam seperti yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar,” katanya ketika menolak saman terhadap kewujudan sekolah vernakular.
Nazlan berkata, perlu dilihat undang-undang dan Perlembagaan sebelum dan selepas Merdeka yang menyediakan perlindungan bagi penggunaan bahasa-bahasa ini dan kewujudan sekolah sedemikian.
Dalam tuntutan itu mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, justeru batal dan tidak sah.
Tambah Nazlan, tiada asas untuk menyatakan sekolah vernakular melanggar Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan.
Nazlan berkata, penggunaan bahasa-bahasa ini sebagai bahasa pengantar pengajaran di sekolah menepati Perlembagaan dan dilindungi bawah pengecualian dalam Perkara 152(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.
“Kemasukan ke sekolah vernakular adalah satu pilihan. Sukar untuk dilihat bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah-sekolah ini melanggar hak mana-mana individu mengikut Perlembagaan,” katanya.
Kerajaan dinamakan sebagai defendan dalam saman itu. Bagaimanapun, mahkamah kemudian membenarkan parti politik dan kumpulan lain dimasukkan sebagai defendan bersama.
Mereka termasuk MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia; Kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Majlis Bahasa Cina Malaysia dan SMJK Chong Hwa; dan Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thirunal (Perak), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil, Persatuan Malaysia Tamil Neri Kalagam, dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia.