|
MIRI: Gara-gara mencuri sebuah tong gas bernilai RM100 milik ibunya, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.
Muhammad Khairul Safiq Dahlan, 23, dari Kampung Sepurau, Bekenu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah mencuri sebuah tong gas bernilai RM100 kepunyaan ibunya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12 tengah hari, 27 Disember lalu di rumah keluarganya di Kampung Perpaduan Jaya 2 Lusut, Taman Tunku di sini.
Hasil siasatan lanjut polis mendapati tertuduh telah mencuri tong gas milik ibunya yang disimpan di dalam rumah sebelum menjualnya.
Sebelum ini, tertuduh juga sering merosakkan harta benda di dalam rumah dan meminta duit daripada ibunya hingga menyebabkan ibunya sudah tidak tahan dengan perangainya.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 28 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2022/01/26
|
|