Bagi seseorang yang sedang menjalinkan hubungan percintaan, memang agak sukar sekiranya ahli keluarga kepada pasangan kita kurang berkenan dengan pilihan hati.
Agama juga menyarankan supaya kita mencari pasangan yang sefuku supaya kekal bahagia tanpa mempunyai masalah seperti membandingkan kelebihan dan kekurangan seseorang.
Mesti seseorang itu juga akan buntu sama ada mahu meneruskan hubungan ke fasa seterusnya sekiranya masalah ini terjadi. Adakah mereka akan terbuka hati untuk atau kita meredah saja sekali gus menimbulkan ‘drama’ antara dua pihak?
Inilah situasi dihadapi gadis cantik ini. Menerusi video yang dimuat naik di platform Tiktok, gadis dikenali sebagai Nuralisya ini meluahkan rasa kecewanya apabila ahli keluarga teman lelakinya seolah-olah memandang rendah terhadap tahap pendidikannya.
Difahamkan, gadis berusia 19 tahun berkenaan diajak kekasihnya untuk menghadiri ke sebuah kenduri yang berlangsung di rumah lelaki tersebut sebelum berlaku situasi menjatuhkan semangat gadis itu.
“Dah sampai, tiba-tiba keluarga dia cakap. Tak setaraf la dengan keluarga kita. Takde la cantik mana, diploma pun takde. SPM buat apa,” luahnya di dalam video tersebut.
Gadis ini seolah-olah tidak berjaya memenuhi ‘citarasa’ ahli keluarga teman lelakinya. Video yang berdurasi selama 15 saat itu telah ditonton hampir 500 ribu netizen dan rupanya ramai yang meluahkan rasa yang sama seperti gadis ini.
Apa salahnya jika seseorang itu mempunyai hati yang baik dan mampu menjaga pasangannya walaupun dia tak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi? Kadang-kala, 'golongan' inilah yang paling ikhlas dan baik.
Apa gunanya jika mempunyai ilmu yang tinggi tetapi sombong? - CARI
|