Pengarah drama bersiri Hati Yang Dikhianati, Bade Hj Azmi menyifatkan Iqram Dinzly sebagai pelakon yang komited sepanjang berada di lokasi penggambaran rantaian berkenaan.
Memetik laporan Astro Gempak, kata Bade, sikap Iqram ketika bekerja juga tidak sama seperti yang digembar-gemburkan oleh netizen sebelum ini. Pelakon itu mempunyai aura tersendiri dan mudah menerima arahan.
"Sudah lebih 20 tahun saya kenal Iqram iaitu sejak dia masih remaja. Tapi, agak lama juga saya tidak berjumpa dengannya. Saya hanya lihat dia di IG dan komen-komen di media sosial.
"Apabila kami bertemu semula, dia masih Iqram yang dulu. Seperti langit dan bumi bezanya dengan dakwaan-dakwaan netizen sebelum ini. Dia profesional dan saya tiada masalah bekerjasama dengannya," kata Bade.
Kata Bade lagi, kemunculan semula Iqram menerusi drama Hati Yang Dikhianati sedikit sebanyak mengubat rindu peminat yang sudah lama menantikan aktor itu kembali aktif ke dunia seni.
"Iqram ada aura tersendiri. Dia adalah seorang pelakon yang sudah membina kerjaya dengan namanya dan ada peminat tersendiri.
"Sebab itulah apabila dia muncul kembali, ramai pula penonton yang geram dengan watak yang dilakonkannya itu," katanya. - CARI
|