Selebriti terkenal Indonesia, Luna Maya mengakui tidak lagi terbeban memikirkan perkahwinan hanya kerana bimbang usia yang semakin meningkat naik. Malahan, wanita berusia 38 tahun itu juga tidak mempunyaisebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat meskipun mengakui mempunyai kekasih hati.
Hal itu kerana Luna sudah merancang masa depannya. Sebagai wanita yang mempunyai batas umur untuk memiliki cahaya mata, penyanyi dan pelakon itu mengambil keputusan untuk menjalani prosedur pembekuan sel telur.
"Saya tidak pernah menganggap usia adalah satu masalah dalam hal mendirikan rumah tangga. Saya tidak mahu tergesa-gesa berkahwin seolah-olah sedang dikejar umur.
"Bagaimanapun, saya akui dalam hal cahaya mata, tubuh wanita ada batas waktu. Sebab itulah saya membuat keputusan untuk bekukan sel telur," katanya.
Luna mendedahkan perkara ketika hadir dalam temu bual bersama Venna Melinda. Tindakannya berbuat sedemikian kerana tetap ingin mempunyai anak walaupun ketika itu usianya sudah lanjut.
Menerusi temu bual itu lagi, kata Luna, dia sudah terfikir untuk melakukan prosedur berkenaan sejak empat tahun lalu. Bagaimanapun, impiannya hanya tercapai pada tahun lalu selepas mengetahui Indonesia turut menawarkan perkhidmatan itu.
Meniti fasa kehidupan, Luna juga pernah terfikir untuk mengadakan majlis perkahwinan serta memiliki keluarga sendiri. Namun, pada usia awal 30-an semuanya berubah apabila selalu kecewa dek putus cinta
"Saya ingin berkahwin dan ada anak tetapi bukan sekarang. Sebenarnya, pada usia sekarang ini saya susah untuk jatuh cinta. Saya terlalu cintakan diri sendiri.
"Kalau hanya datang untuk membuatkan hidup saya huru-hara, lebih banyak jangan," katanya. - CARI
Sumber: Kompas.com dan Suara.Com
|