View: 1151|Reply: 0
|
Lindungi famili dari dosa
[Copy link]
|
|
Lindungi famili dari dosa
TUGAS seorang lelaki bukan sahaja memberi nafkah, tetapi juga melindungi keluarganya daripada sebarang bahaya di dunia dan akhirat.
Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan supaya saling melengkapi di antara satu sama lain bagi melahirkan ummah yang harmoni dan sejahtera. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 1 yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu."
Golongan lelaki mempunyai ciri-ciri khusus dan tanggungjawab fitrahnya sebagai pelindung wanita dan menjadi pemimpin berwibawa. Hal ini ditegaskan melalui firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 34 yang bermaksud: "Golongan lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap golongan perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan- perempuan soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya."
Istilah qawwam berasal daripada perkataan qaim yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela. Seseorang yang qawwam adalah orang yang memiliki sifat qaim secara berterusan, iaitu berterusan mengambil berat, bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela golongan wanita.
Berdasarkan ayat al-Quran tersebut Allah SWT juga telah menerangkan salah satu ciri qawwam iaitu memberi nafkah kepada anak dan isteri. Tugas seorang lelaki yang qawwam ialah melindungi keluarga daripada bahaya di dunia dan akhirat serta tidak mengabaikan keluarga.
Tanggungjawab lelaki sebagai ketua yang paling utama adalah memelihara ahli keluarga daripada perbuatan dosa dan maksiat seperti firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Di dalam sebuah hadis riwayat Ahmad Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya." Berdasarkan hadis tersebut, kita memahami bahawa dayus bermaksud si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan mengambil endah perbuatan maksiat yang dilakukan oleh ahli keluarganya.
Manakala di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku ingin menceritakan satu perkara yang telah aku dengar daripada Rasulullah SAW yang tidak memberitahu kepada seorang pun melainkan aku. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sesungguhnya sebahagian daripada tanda-tanda hari Kiamat ialah akan diangkat ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, ramai yang minum arak, sedikitnya lelaki dan ramainya wanita sehingga mencapai lima puluh perempuan berbanding satu lelaki.'"
Justeru, tugas dan peranan golongan lelaki kini lebih teruji mendepani pelbagai cabaran sosial dan ekonomi semasa. Ujian getir penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara misalnya, memberi tamparan kepada lelaki dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin rumahtangga untuk memastikan kelangsungan kehidupan keluarga terpelihara.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, tanggungjawab kaum lelaki benar-benar teruji apabila segelintir daripadanya melalui pengalaman pertama kali mengimamkan solat berjemaah di rumah serta mengetuai bacaan takbir dan khutbah hari raya. Bahkan pelbagai gelagat ditularkan berkaitan aksi pertama kali sesetengah lelaki keluar bersendirian ke pasar membeli barang keperluan harian.
Sebahagian besar golongan lelaki berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik yang melanda. Sebahagian yang lain terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan seperti penjual jeruk mangga di tepi jalan serta penghantar makanan yang berhujan dan berpanas di bawah terik matahari bagi mencari rezeki untuk anak dan isteri. Pernah tular berita tentang kegigihan seorang bapa muda yang terpaksa membesarkan anak kembarnya sendirian setelah kematian isterinya.
Semua gambaran ini memperlihatkan dedikasi golongan lelaki dalam melaksanakan tanggungjawab yang saban hari semakin mencabar. Tugasan tersebut amat memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani.
Berdasarkan statistik di Malaysia, jangka hayat lelaki adalah lima hingga enam tahun lebih pendek berbanding wanita, di mana seorang bayi lelaki yang dilahirkan pada 2018 boleh hidup sehingga usia 72.7 tahun berbanding bayi perempuan yang boleh hidup sehingga 77.6 tahun. Lelaki didapati mempunyai tahap kesihatan yang lebih rendah berbanding wanita dan terdedah kepada pelbagai risiko penyakit.
Merujuk Pelan Kesihatan Lelaki Kebangsaan, kes kesihatan mental dalam kalangan lelaki adalah tinggi, tetapi kerap tidak dikesan kerana lelaki tidak menunjukkan simptom dan tanda kepada masyarakat. Lelaki lebih cenderung menyendiri dan tidak berkongsi lalu melepaskan kesedihan melalui perkara lain seperti keganasan, mengambil arak, dadah atau membunuh diri.
Justeru, amat penting bagi golongan lelaki untuk menitikberatkan aspek kesihatan dari pelbagai sudut bagi membolehkan peranan sebagai qawwam dilaksanakan. Teladani keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai suami, bapa, ketua keluarga, ketua negara dan panglima perang.
Selain daripada menyantuni ahli keluarga, baginda paling kuat beribadah dan berdoa di malam hari bagi memperoleh kekuatan di dalam peperangan yang dipimpinnya. Catatan sirah merekodkan bahawa sebelum sesuatu pertempuran bermula, Nabi Muhammad SAW menghabiskan banyak waktu untuk berdoa.
Ibnu Katsir menggambarkan keadaan Rasulullah SAW, pada malam perang Badar baginda solat dekat sebatang pohon. Dalam sujudnya baginda Nabi Muhammad SAW membasahi lisannya dengan kalam: "Ya Hayyu, Ya Qayyum" dan baginda mengulangi ucapan itu. Dalam solat tahajudnya, baginda menangis sambil berdoa memohon bantuan dan pertolongan Allah SWT.
Jadikanlah doa dan munajat sebagai kekuatan ampuh di dalam mengembalikan fungsi dan peranan lelaki sebagai qawwam mendepani pelbagai badai.
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... gi-famili-dari-dosa
|
|
|
|
|
|
|
| |
|