Wang tunai berjumlah RM185,744 yang dilarikan suspek berjaya ditemui semula oleh anggota FRM Balai Polis Kota Kinabalu. Foto ihsan PDRM
KOTA KINABALU: Tindakan pantas pasukan First Response Motorcycle (FRM) Balai Polis Kota Kinabalu berjaya menahan seorang lelaki selepas memecah kereta dan melarikan wang tunai bernilai RM230,744, pagi kelmarin. Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, pemilik kereta Nissan Almera berusia 40 tahun itu dikatakan meletakkan keretanya di tempat letak kereta di hentian bas di Likas Square, di sini, untuk mengambil wang hasil jualan perniagaan runcit keluarganya dalam bangunan berkenaan.
Kejadian hanya disedari mangsa ketika kembali ke keretanya apabila mendapati alat penggera kenderaannya berbunyi dan cermin dipecahkan.
Mangsa kemudian menyedari dua beg berisi wang tunai kutipan perniagaannya bernilai RM230,744 dicuri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata kejadian disedari orang awam yang mendakwa suspek dilihat memecahkan cermin pemandu sebelum mengambil dua beg dan terus melintas jalan.
Katanya, orang awam kemudian memaklumkan kejadian itu kepada anggota FRM yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
"Orang awam menahan motosikal anggota FRM dan memaklumkan kejadian itu sebelum bertindak mengejar kereta suspek yang cuba melarikan diri.
"Anggota FRM kemudian memintas dan menahan kereta PROTON Iswara dinaiki dua lelaki di tepi Jalan Teluk Likas, berhampiran sebuah sekolah.
"Anggota FRM menahan pemandu kereta, namun seorang lagi suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan sempat melarikan diri.
"Hasil pemeriksaan dalam kereta dipandu suspek berjaya menemui wang tunai RM185,744 manakala baki wang sebanyak RM45,000 dibawa lari suspek," katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, siasatan mendapati suspek yang ditahan berusia 56 tahun, manakala rakannya yang masih bebas dikenal pasti sebagai Fredius George berusia 33 tahun.
"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut serta siasatan kes masih diteruskan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, serta sebatan," katanya.
bharian.com.my Januari 12, 2022 @ 10:03pm |