JUARA: Dullah (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang emas dalam program tersebut.
TAWAU: Sebanyak 15 kumpulan yang terdiri daripada penuntut Politeknik Tawau menyertai Program Tourism Innovation Showcase 2021 (TIS'2021) Sabah, baru-baru ini.
Program itu merupakan pameran projek akhir semester 5 bagi kursus DTM50174 Tourism Project sesi 1 tahun 2021/2022.
Semua kumpulan akan membentangkan hasil kajian dan inovasi mereka untuk dinilai oleh juri jemputan daripada Pensyarah Akademik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau dan Ketua Jurutera Malaysia Airports Holdings Berhad.
Pengarah Politeknik Tawau, Dullah Muluk berkata program ini dapat memupuk budaya inovasi serta memberi peluang kepada penuntut mengaplikasikan kemahiran dalam bidang yang mereka ceburi.
“Ia juga secara langsung dapat mengimbangi tahap sosial penuntut dan persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
“Kejayaan yang ditunjukkan oleh semua penuntut di sini membuktikan mereka mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan kemahiran yang diperlukan oleh industri,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Katanya, semua penuntut Politeknik Tawau dilihat mampu membantu industri dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan menjana pendapatan yang lebih mampan.
“Banyak idea dalam projek yang dibentangkan oleh penuntut telah diterima dan bakal diaplikasikan oleh industri, malah ada diantara mereka telah ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian.
“Ini bermakna, penuntut yang dilahirkan oleh Politeknik Tawau sangat berkualiti dan mampu menembusi pasaran pekerjaan dengan lebih mudah,” katanya.
Dullah berharap semua penuntut terus kekal kompetitif serta berdaya saing melalui pemikiran secara kreatif dan inovatif iaitu “thinking out of the box”.
“Ia selaras dengan misi Politeknik Malaysia untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berciri keusahawanan,” katanya.
Terdahulu, kumpulan yang diketuai Nurul Amylia Zainal bersama tiga lagi ahlinya Nuratiqah Hatta, Asfarizah Norahan dan Nur Atikah Nasip memenangi pertandingan itu.
Kumpulan berkenaan adalah dibawah seliaan pensyarahnya, Alinda Minsion dan telah membentangkan projek inovasi mereka iaitu ‘Booking Travel (Boovel)’.
Pembentangan mereka bukan sahaja menarik minat para juri, malah telah ditawarkan pekerjaan daripada Syarikat Ocean Blue Coastal Travel and Tour Sdn Bhd, Kunak dan Syarikat Sulaman Travel & Tours Sdn Bhd, Kota Kinabalu.
utusanborneo.com.my/2022/01/11 |