CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 768|Reply: 0

[Sarawak] Kecewa liputan Internet lemah

[Copy link]
Post time 30-12-2021 07:26 PM | Show all posts |Read mode


Dua penghuni Rh Jamping, Nanga Atoi, Saratok mencari lokasi yang ada liputan internet.

SARATOK: Berbaki kira-kira seminggu lagi sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) liputan internet yang lemah amat mengecewakan penduduk di sepanjang Jalan Ulu Awik, di sini yang mempunyai sekitar 2,500 orang.

Kebanyakan penduduk sudah mula hilang sabar apabila berdepan masalah liputan yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka.

Ada antara mereka terpaksa bergerak ke beberapa lokasi, mencari kawasan yang ada liputan. Inilah senario terpaksa dihadapi penduduk baik golongan pesara, muda mahupun pelajar yang sudah muak dengan masalah tiada berpenghujung itu.

Bagi ibu kepada dua orang anak, Embang Jiram, 41, berkata masalah itu sudahpun dibangkitkan penduduk kepada pihak terlibat, namun tiada tindakan segera diambil untuk mengatasinya.

“Keadaan itu menyebabkan urusan penduduk terutama pelajar sekolah tidak selesa mengikuti sesi PdPR kerana liputan internet yang kadangkala ada dan sekejap terputus sekali gus menyebabkan mereka kurang bersemangat," katanya semasa dihubungi hari ini.

Menurut Embang, dia dan penduduk yang lain amat kecewa dengan keadaan itu apabila tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah itu, sedangkan akses internet amat penting ketika ini.

"Bayangkanlah hanya untuk menghantar atau memuat naik sekeping gambar melalui aplikasi WhatsApp boleh memakan masa, apatah lagi jika ingin membuka laman sesawang tertentu," ujarnya lagi.

Selain itu katanya, ketika PdPR ada juga ibu bapa yang cuba membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah namun, apabila soalan itu sukar dijawab, tiada panduan yang boleh diikuti.

Jelasnya, perlu difahami bukan semua ibu bapa di sini berpelajaran tinggi dan bukan mudah untuk mereka membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah.

Untuk itu, dia meletak harapan yang tinggi agar masalah liputan internet di kawasan itu dapat ditambah baik agar ia memudahkan murid sekolah memberikan komitmen dan menghantar kerja sekolah.

Seorang lagi penduduk di kawasan itu, Vandtmcroy Lungah, 38, berkata dia tinggal di rumahnya panjang yang berdekatan dengan menara pemancar telekomunikasi yang dibina sejak lebih enam tahun lalu.

Bagaimanapun, dia dan jirannya menerima liputan internet yang sangat mengecewakan.

“Banyak urusan yang boleh kami buat melalui online (dalam talian) seperti semakan kemasukan wang dalam akaun ataupun pelbagai urusan lain," jelasnya.

Menurut Vandtmcroy, masalah itu juga menyebabkan kehidupan harian mereka terjejas apabila sukar untuk berkomunikasi malah untuk mencari maklumat khususnya berkaitan perkembangan terkini Pandemik COVID-19.

Bagi, Ellyana Durie James, 20, berharap pihak berkenaan mengambil perhatian serius terhadap isu capaian internet dan komunikasi terutama di di kawasan luar bandar.

Ellyana berkata, akses kepada internet ini sudah menjadi keperluan asas dalam kehidupan dan sangat penting untuk diperluaskan lagi sekurang-kurangnya 4G.

“Sekiranya dahulu masyarakat bergantung kepada sumber telekomunikasi seperti radio dan televisyen untuk mendapatkan maklumat, namun perkembangan teknologi hari ini membuatkan segala-galanya berada di hujung jari.

"Dalam keadaan tertentu terutama suasana ancaman seperti COVID-19, maklumat perlu disampaikan dan digarap dengan seberapa pantas yang boleh. Kelewatan menerima maklumat boleh mencetuskan masalah dan kemudaratan lebih besar," tegasnya.


utusanborneo.com.my/2021/12/30


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-2-2025 06:02 PM GMT+8 , Processed in 0.066337 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list