Pelakon popular Indonesia, Iko Uwais terus melakar sejarah dalam industri perfileman apabila dia diberi kepercayaan untuk menjayakan The Expendables 4 di samping bintang Hollywood terkenal seperti Sylvester Stallone dan Jason Statham.
Bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat, Iko atau nama sebenarnya Uwais Qorny akan memainkan watak sebagai penjahat.
Iko, 38, menjadi aktor terbaru yang akan tampil dalam The Expendables 4. Sebelum ini, Megan Fox, 50 Cent atau Curtis Jackson, Tony Jaa dan Andy Garcia terlebih dulu muncul menjayakan filem berkenaan, lapor Malaysiakini.
Selain aktor baru, filem itu juga akan menghadirkan aktor dari tiga film The Expendables sebelumnya.
Stallone akan kembali sebagai Barney Ross, Statham sebagai Lee, Dolph Lundgren sebagai Gunner, dan Randy Couture sebagai Toll.
The Expendables 4 akan diarahkan oleh Scott Waugh yang sebelum ini pernah mengarah Act of Valor (2012) dan Need for Speed (2014).
Naskhah itu ditulis oleh Spencer Cohen, dan akan disempurnakan oleh Max Adams dan John Joseph Connolly. Bagaimanapun, plot filem berkenaan masih belum diketahui.
Siri francais The Expendables bermula pada 2010, dengan tajuk The Expendables. Dua tahun kemudian, The Expendables 2 diterbitkan manakala The Expendables 3 menyusul pada 2014.
Nama Iko mulai dikenali dalam industri film Indonesia sejak dia membintangi Rantau (2009) yang mendapat arahan Gareth Evans. Dia kembali bekerjasama dengan Evans melalui The Raid (2012) yang membuat namanya meroket hingga dikenali di persada antarabangsa.
Karyanya dalam industri filem luar negara dilanjutkan dengan penampilannya melalui Star Wars: The Force Awakens, Beyond Skyline (2017), dan Mile 22 (2018).
Selain Iko, sahabatnya, Yayan Ruhian juga merupakan pelakon kelahiran Indonesia yang berjaya menempa nama di persada perfileman Hollywood dalam memartabatkan seni Silat di persada antarabangsa.
The Expendables 4 dijangka menemui peminat pada 2022. - CARI
|