KUCHING: Tiada sebarang aktiviti sambutan tahun baharu 2022 dibenarkan di negeri ini.
Hal ini menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak adalah kerana negeri ini masih dalam fasa tiga pelan pemulihan negara (PPN).
Untuk itu, katanya dalam satu kenyataan, masa beroperasi semua premis dihadkan hingga 12 tengah malam.
Jelas JPBNS lagi, operator premis perniagaan yang tidak mematuhi arahan itu akan dikenakan tindakan kompau.
Sehubungan itu, katanya, pihak penguatkuasa akan mempertingkatkan operasi bersepadu bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Sektor pusat permainan kanak-kanak (arked) di pusat beli-belah pula dibenarkan beroperasi mulai 1 Jan 2022 dengan mematuhi SOP yang disediakan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.
“Operator pusat permainan kanak-kanak perlu memohon kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dibenarkan memulakan operasi,” menurut kenyataan itu lagi.
sarawakvoice.com/2021/12/29 |