KUCHING: Kabinet baharu negeri yang akan ditubuhkan disyor mewujudkan satu kementerian khusus menjaga hal ehwal luar bandar dalam semua aspek.
Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman (gambar) berkata kementerian hal ehwal luar bandar boleh berperanan dalam melaksanakan program pembangunan infrastruktur atau prasarana luar bandar.
“Kita memang sudah ada utiliti (kementerian) tetapi mungkin perlu diberi khusus adalah hal ehwal luar bandar. Ini kerana masih ada rungutan dan rintihan daripada rakyat mengenai infrastruktur, iaitu perkara berulang yang belum selesai,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengani harapan mengenai penubuhan kabinet baharu oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan datang.
Mohd Fadzil berkata, penubuhan kabinet baharu itu nanti adalah tertakluk dan terpulang kepada kebijaksanaan ketua menteri.
Namun ujarnya apa yang disarankan adah menjurus kepada apa perancangan oleh kerajaan negeri berdasarkan 34 Perkara dalam Manifesto GPS sebelum ini.
Pembangunan luar bandar kata Mohd Fadzil salah satu perkara dalam manifesto dan ia harus diberi keutamaan.
Sehuhungan itu untuk merancakkan lagi pembangunan berkenaan, kabinet baharu juga diharap mewujudkan kementerian pertanian yang menumpukan teknologi terkini.
“Sektor pertanian harus diperkasakan untuk pembangunan yang menumpukan ekonomi digital. Maka itu perlu ada kementerian pertanian baharu secara khusus.
Memandangkan kerajaan negeri juga menitik beratkan pertanian sehingga menubuhkan Food Basket dan penerbangan sendiri untuk membawa hasil pertanian,” katanya.
Mengenai cadangan menubuhkan satu kementerian bagi pendidikan tinggi di Sarawak, beliau berkata sehingga kini belum ada keperluan.
“Bagi saya belum ada keperluan mendesak untuk mewujudkan kementerian pendidikan tinggi Sarawak kerana ia masih boleh diletakkan dibawah kementerian sedia ada. Ini kerana ia mungkin terlalu kecil untuk ditubuhkan satu kementerian tetapi mungkin boleh diletakkan di kementerian sedia ada iaitu Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi,” katanya.
Beliau mencadangkan dibawah kementerian berkenaan ia mungkin boleh dibahagikan kepada dua. Satu menjaga bahagian pengajian tinggi dan satu menjaga pendidikan sekolah biasa.
utusanborneo.com.my/2021/12/29 |