Amit dijumpai selamat, kira-kira 10 kilometer di kawasan dia hilang pada jam 10.58 pagi ini.
LAWAS: Seorang lelaki warga emas ditemui selamat selepas hilang ketika mencari lokan di Sungai Kanawai-Kanawai, Sundar dekat sini pada Isnin.
Mangsa Amit Matasan, 71 ,ditemui dalam keadaan lemah oleh penduduk kampung di tepi sungai, kira-kira 10 kilometer di kawasan dia hilang pada jam 10.58 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Azman Ibrahim berkata mangsa tiba di kawasan pencarian dalam keadaan lemah dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Dengan penemuan mangsa ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditutup,” katanya kepada media.
Pada Isnin mangsa bersama rakannya Roseli Sahari 49, keluar bersama mencari lokan di sungai Kanawai - Kanawai dengan menggunakan bot gentian kaca sebelum bergerak berasingan.
Bagaimanapun rakannya dan mangsa tidak dapat berkumpul semula sekitar jam 7 petang.
Susulan itu rakannya balik ke rumah untuk membuat laporan tentang kehilangan mangsa.
utusanborneo.com.my/2021/12/28 |