Orang ramai perlu berhenti menuding jari terhadap agensi penguat kuasa atas dakwaan lambat menyalurkan bantuan di kawasan yang terjejas banjir, sebaliknya perlu sama-sama turun padang membantu mangsa-mangsa yang memerlukan termasuk semasa pasca banjir.
Salah seorang setiausaha Kelab Rukun Tetangga (KRT), Fasa 7, Taman Seri Gombak, Datin Rohana Mustafa, 62, berkata masyarakat tidak boleh menidakkan peranan dimainkan pihak berkuasa selama ini yang bertungkus-lumus membantu apabila berdepan dengan sebarang bencana sebelum ini.
Kredit foto: The Rakyat Insight
“Kawasan yang terlibat dengan banjir kali ini agak besar untuk kita meletakkan tanggungjawab menyelamat sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Sebaliknya sebagai rakyat, kita perlu sama-sama turun membantu dengan ikhlas dengan mematuhi prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Namun, apa yang perhatikan netizen lebih gemar menyalahkan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedangkan mereka sendiri menyambung nyawa meredah arus untuk menyalurkan bantuan,” katanya.
Sementara itu Pengasas Team Haq Esports Club, Aimanhaq Zaharudin, 22, turut senada dengan Rohana dan sanggup menutup sementara operasi pejabatnya bagi bersama-sama lebih 10 kakitangannya membantu mangsa banjir.
Katanya tanggungjawab membantu mangsa banjir bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya harus dipikul bersama-sama oleh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sebagai Keluarga Malaysia.
“Pada masa yang sama, pihak perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan perlu mematuhi arahan pihak berkuasa untuk mengelak sebarang kesesakan di kawasan bencana sehingga menyukarkan pihak berkuasa untuk melakukan operasi menyelamat,” katanya.
Sumber: K! ONLINE |