Anggota bomba memadamkan kebakaran
KUCHING: Sebuah bengkel membaiki motosikal di Kampung Muara, Jalan Mongkos, Tebakang-Serian musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.24 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian diketuai Pegawai Bomba Kanan Sim Mui Chai terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bengkel motosikal yang telah musnah sepenuhnya.
"Turut musnah dalam kebakaran tersebut ialah enam buah motosikal," Katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran salur bantu untuk memadam kebakaran tersebut.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.20 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 5.32 pagi," katanya.
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.
utusanborneo.com.my/2021/12/22 |