Wanita warga emas maut dirempuh sebuah motosikal ditunggang seorang penghantar makanan ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat isyak di Jalan Selising-Kok Lanas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa, Fatimah Che Kub, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Motosikal penghantar makanan yang merempuh seorang wanita warga emas semasa melintas jalan di Jalan Selising- Kok Lanas, Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN PDRM
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai memakai telekung solat dan berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya.
Menurutnya, mangsa dipercayai baru selesai menunaikan solat isyak di sebuah surau di Kampung Banggol Chica di sini.
“Semasa sedang berjalan kaki dan melintas jalan, sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang penghantar makanan berusia 23 tahun dari arah Selising ke Kok Lanas dipercayai gagal mengawal motosikalnya.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, motosikal itu merempuh mangsa yang ketika itu sedang melintas dari kiri ke kanan jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Rahim, insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami pendarahan yang teruk pada bahagian kepala.
Sumber: K! ONLINE |