KOTA KINABALU: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna akan ditutup mulai tahun depan adalah berpunca daripada kekurangan kemasukan pelajar yang berterusan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun MARA adalah agensi kerajaan, namun KPTM Semporna terpaksa menanggung semua operasinya sendiri.
"Kita sebenarnya serba salah juga mengenai isu ini kerana ia adalah tempat pelajar-pelajar bumiputra belajar.
"Namun kita terpaksa melihat perkara ini (penutupan) ekoran tidak mencukupi sasaran pelajar.
"Kapasiti KPTM Semporna ini mempunyai kapasiti 600 orang namun sekarang kita hanya memiliki 169 pelajar sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Selain itu, Mahdzir menjelaskan KPTM juga tidak mempunyai peruntukan dari kerajaan dan perlu membayar sendiri gaji kakitangan termasuk tenaga pengajarnya yang membabitkan kos operasi yang tinggi.
Ditanya mengenai status pelajar yang masih berada di KPTM Semporna, Mahdzir menjelaskan, penuntut sedia ada akan menamatkan pengajian secara berperingkat.
utusanborneo.com.my/2021/11/30
|