PENUNTUT: Alinda bersama penuntut yang menjalankan simulasi pelancongan di daerah ini.
TAWAU: Seramai 24 orang penuntut Diploma Pengurusan Pelancongan Politeknik Tawau berjaya melaksanakan simulasi pemandu pelancong bandar, baru-baru ini.
Simulasi itu adalah berdasarkan pakej-pakej yang telah dirancang dan bincangkan dalam setiap ahli kumpulan yang dibentuk oleh penuntut berkenaan.
Pensyarahnya, Alinda Minsion berkata program itu adalah ujian praktikal bagi kursus DTM 30233 ‘Travel and Tour Operation’ yang wajib diambil oleh setiap penuntut Pengurusan Pelancongan.
“Mereka perlu mengunjungi tempat pelancongan yang menarik untuk dimasukkan dalam pakej lawatan, kos dan pakej dipilih oleh pelancong.
“Objektif program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada penuntut cara pengurusan sebelum, semasa dan selepas lawatan,” katanya.
Menurutnya, penuntut juga akan terlibat secara langsung dalam pakej yang dirancang, sekali gus melaksanakan idea dan cadangan mereka dalam situasi sebenar.
“Penuntut juga dapat merasai pengalaman dalam pengurusan sebenar yang akan memudahkan mereka mengaplikasikannya apabila bekerja dalam industri nanti.
“Selain itu, penuntut dapat mengetahui jenis-jenis produk pelancongan yang terdapat di sekitar bandar Tawau terutamanya bagi pelajar yang datang dari daerah lain,” katanya.
Alinda berkata, pengalaman itu dapat membantu semua penuntut membina keyakinan diri untuk bertugas di lapangan dan merasai pengalaman yang berharga sepanjang pengajian mereka.
“Sebagai pendidik, kepuasan itu dapat dirasai apabila penuntut faham serta mengalami sendiri pengalaman yang telah diajar dan dilaksanakan secara praktikal di luar kampus,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/22
|