|
Persepsi saham menjunam selepas berumah tangga nyata tidak lagi relevan. Buktinya, pelakon cantik, Nelydia Senrose, 26, masih ampuh dalam liga tersendiri, biarpun sudah bersuami.
Hanya berbekalkan filem Jebat yang ditayangkan, tahun lalu, Nelydia membuktikan kehadirannya masih dirindui dan disayangi ramai.
Foto: IG
Filem Jebat adalah kesinambungan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang pernah mencetuskan fenomena, sekali gus melonjakkan nama Nelydia dan hero gandingannya, Sharnaaz Ahmad pada 2013.
Tahun ini, Nelydia bolos kelompok Top 5 bagi dua kategori iaitu Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34. Ini kali kedua namanya menjadi pilihan pengundi selepas ABPBH 3.0.
Tidak ketinggalan, hero gandingannya, Sharnaaz turut membolosi dalam kategori Pelakon Lelaki Filem Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular.
"Saya akui, penangan filem Jebat masih utuh. Biarpun filem arahan Jamal Khan itu mengambil masa empat tahun untuk ditayangkan, namun, penantiannya sangat berbaloi. Gandingan saya dan Sharnaaz nyata masih dirindui.
"Lebih manis, ia membawa saya dan Sharnaaz dipilih sebagai finalis ABPBH 34," katanya kepada BH Online.
Mengenai saingan dalam pencalonan itu, Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen yang memulakan kerjaya lakonan pada usia 13 tahun hanya bertawakal dalam soal kemenangan.
"Saya tahu jika sudah berada dalam kelompok Top 5, selangkah sahaja menghampiri posisi kemenangan. Namun, apa sahaja boleh terjadi.
"Andai kemenangan berpihak kepada saya, ia bukan bermakna saya sudah hebat. Sebaliknya, kehebatan 100 peratus daripada peminat saya.
"Saya hanya mampu berkongsi bakat. Berada pada kelompok finalis sendiri sesuatu yang tidak pernah saya duga, apatah lagi, tidak mempunyai kelab peminat.
"Saya hanya sedar, pasti ada peminat dari jauh menghargai bakat saya tanpa jemu. Terima kasih untuk cinta dan kasih sayang luhur ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, pelakon mula dikenali selepas muncul dalam drama rantaian yang mencetuskan fenomena, Spa Q pada 2007 itu kini sibuk dengan penggambaran drama Khilaf Asmara arahan Shahrulezad Mohameddin.
"Ada empat watak utama dalam drama ini termasuklah saya, Fasha Sandha, Fahrin Ahmad dan Fattah Amin.
"Ini kali pertama saya berpeluang bekerja di bawah pengarahan Shahrulezad. Drama ini bakal menghiasi slot Samarinda di TV3," katanya.
Nelydia mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid pada 6 April 2019, bagaimanapun belum menimang cahaya mata.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyerahkan soal zuriat kepada takdir dan tidak menjadikannya sebagai tekanan.
Malah, cepat atau lambat, terima dengan hati yang terbuka. -CARI
Sumber: Berita Harian
|
|