[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 5, 2021 @ 5:30pm[email protected]
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS di Kedah - Foto NSTP/Ihsan APM
ALOR SETAR: Mangsa banjir di sini kini mencecah 856 orang daripada 234 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini setakat jam 4 petang ini.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, kesemua mangsa banjir itu adalah antara yang terjejas banjir di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling.
Beliau berkata, jumlah terkini keseluruhan mangsa banjir di daerah Kota Setar adalah seramai 550 mangsa daripada 156 keluarga.
"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar masih kekal seramai 80 mangsa daripada 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti seramai 67 mangsa daripada 25 keluarga manakala PPS SK Darul Hikmah seramai 118 mangsa daripada 32 keluarga.
"PPS SK Convent seramai 87 mangsa dari 22 keluarga, SK Titi Gajah seramai 10 mangsa daripada dua keluarga dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pula menempatkan seramai 163 mangsa daripada 48 keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Muaz berkata, PPS SK Haji Wahab di daerah Kota Setar ditutup jam 2 petang tadi dan semua mangsa di PPS itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun katanya, satu lagi PPS dibuka di Kota Setar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala dibuka pada jam 2 petang hari ini dengan menempatkan seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga.
"Ini menjadikan jumlah PPS di Kota Setar adalah lapan namun satu daripadanya sudah ditutup hari ini menjadikan tujuh PPS masih aktif di daerah itu," katanya.
Mohd Muaz berkata, keseluruhan mangsa banjir di Pendang masih kekal seramai 287 mangsa daripada 75 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah (206 mangsa daripada 50 keluarga) dan PPS Dewan Cenderawasih seramai 81 mangsa daripada 25 keluarga.
Beliau berkata, satu PPS yang dibuka di daerah Baling iaitu SK Padang Tembak A menempatkan seramai 10 mangsa daripada satu keluarga.
"PPS di daerah Pokok Sena iaitu di SK Tualang pula masih menempatkan seramai enam mangsa daripada dua keluarga," katanya.
Mohd Muaz berkata, berkemungkinan mangsa banjir di negeri ini akan bertambah sekiranya hujan lebat ketika fenomena air pasang besar berlaku tengah malam ini.