|
Gambar Hiasan
PETALING JAYA – Setiap orang mempunyai hobi yang berbeza namun ada juga dikalangan kita yang mempunyai hobi pelik dan jijik atau bahasa mudahnya "gila seks" hingga sanggup ambil risiko dan berhabis duit untuk kepuasan nafsu.
Kecoh di media sosial apabila terdapat pengguna di platform Tumblr berkongsi mengenai kamera kecil yang boleh dibeli khusus untuk merakam tubuh badan wanita.
Melalui tangkap layar hantaran yang dikongsi pengguna laman Twitter itu, individu terbabit berkongsi pengalamannya menggunakan kamera tersebut yang diletakkan pada beg pinggang bagi tujuan merakam punggung wanita, lapor Kosmo.
Lebih memeranjatkan, individu itu mendedahkan sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli kamera tersebut bagi tujuan tidak senonoh itu.
“Kali ini abang terpanggil untuk kongsi kamera ini dengan korang. Memang clear (jelas) kamera ini, boleh lekat pada magnet, nak pegang pun boleh tapi abang selalu lekat dekat pouch bag terutama ketika di kawasan yang ada CCTV (televisyen litar tertutup).
“Abang pun baru-baru ini nyaris ‘kantoi’. Kamera ini mahal sikit dalam RM1,000 lebih. Yang ratus-ratus pun ada je jual online,” katanya.
Hantaran yang kini tular di media sosial itu mendapat kecaman orang ramai yang rata-ratanya jijik dengan perbuatan terkutuk lelaki tersebut.
“Kamera 360 darjah ini selalunya orang beli untuk bawa ‘ride’. Tapi, dia boleh beli untuk rakam badan perempuan. Sangat jijik,” kata Ryan.
“Bila perempuan bising, susah nak rasa selamat bila berada di luar, ramai lelaki tak percaya. Lelaki miang macam ini, dia tak kisah seksi ke tidak janji perempuan. Kalau dah macam ini, masih nak salahkan perempuan ke?,” soal Mas.
“Bayangkan berhabis RM1,000 lebih untuk buat perkara terkutuk. Sedangkan duit itu boleh dibelanjakan untuk tujuan yang lebih baik,” kata Norfhi.
Nampaknya golongan wanita kena lebih peka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling walaupun berada di tempat awam kerana lelaki gila seks seperti ini ada di mana-mana sahaja mencari mangsanya. - CARI |
|