Baling: Seramai 234 mangsa banjir membabitkan 80 keluarga dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki hingga ke paras satu meter malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, sebanyak lima mukim dilanda banjir membabitkan Mukim Siong, Bongor, Baling, Pulai dan Kupang.
Beliau berkata, tujuh PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Siong, SK Titi Gantung, SK Tunku Putera, SK Pulai, SK Keda dan Dewan Orang Ramai Banggol Derum.
Rasidah berkata, sejak Khamis lalu sebanyak 369 keluarga terjejas akibat banjir bagaimanapun hanya 234 mangsa yang masih berada di PPS sehingga jam 8 pagi ini.
"Ada mangsa di beberapa kampung dibenarkan pulang berikutan keadaan pulih bagaimanapun PPS masih dibuka sekiranya banjir terus berlaku.
"Ada dalam kalangan mereka pulang untuk membersihkan rumah dan datang semula ke PPS pada waktu malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, mangsa banjir, Selamah Ab Rahman, 65, berkata, hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan rumahnya dinaiki air lima kali dalam tempoh sebulan.
"Hujan lebat berterusan menyebabkan rumah saya dinaiki air dengan cepat dan tidak sempat menyelamatkan barang.
"Belum sempat membersih kekotoran, air masuk lagi dan melekat dengan selut," katanya.