Penyeliaan, penyelenggaraan Jambatan Gantung Satok di bawah DBKU tahun depan
Dr Abdul Rahman (tengah) bercakap pada sidang media DBKU di Kuching hari ini. Turut kelihatan Junaidi (kiri) dan Mohd Khaider (kanan).
KUCHING: Penyeliaan dan penyelenggaraan Jambatan Gantung Satok dijangka diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada awal tahun depan.
Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata buat masa ini penyeliaan dan penyelenggaraan jambatan ini di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
“Jambatan ini merupakan struktur ikonik yang bersejarah bagi bandar Kuching dan penting untuk DBKU mengambil bahagian yang lebih seirus untuk pastikan bahawa ia dapat dijaga dengan baik.
“Kerana saya pasti apabila pandemik tamat nanti, antara tempat wajib dilawat apabila pelawat atau pelancong singgah di Kuching ialah jambatan ini,” katanya pada sidang media di Bangunan DBKU di sini hari ini.
Tambah Dr Abdul Rahman pembinaan semula jambatan ini telah siap pada 26 Mac tahun ini dan dibuka kepada orang ramai pada 1 September lepas.
Katanya meskipun buat masa ini penyeliaan dan penyelenggaraan masih di bawah JKR Sarawak, namun DBKU membantu dengan menyediakan tong sampah, kerja pembersihan dan pemotongan rumput di sekitar tebing sungai.
Setelah beberapa perkara teknikal dan pentadbiran dimuktamadkan bersama JKR Sarawak kelak, penyeliaan dan penyelenggaraan jambatan ini akan diserahkan kepada DBKU yang mana dijangka pada awal tahun depan.
Dengan penyerahan penyeliaan dan penyelenggaraan itu kelak DBKU akan melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan pembersihan, kawalan keselamatan, kerja-kerja penyelenggaraan struktur, landskap, pemasangan papan tanda, pengurusan aktiviti dan pelbagai kerja yang berkaitan.
JKR pula akan memberi input dan nasihat kepakaran teknikal penyelenggaraan struktur jambatan.
Pada sidang media itu, Dr Abdul Rahman turut memaklumkan mengenai beberapa perkara lain antaranya kejayaan DBKU memenangi Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) Kesembilan 2019/2020 baru-baru ini.
Turut disentuh mengenai perkhidmatan DBKU kepada kerajaan negeri untuk program kawalan COVID-19 yang turut terlibat dalam operasi pengesanan kes aktif (ACD) serta penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Mengenai projek pengindahan bandar raya Kuching pula, DBKU katanya sedang dalam usaha mempergiatkan program dengan melaksanakan projek landskap di sepanjang jalan protokol.
Projek ini bermula dari persimpangan RTM/Jalan Satok/Kulas sehingga sepanjang jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Jalan Bako dan Jalan Tun Salahuddin.
Sementara itu katanya menerusi peruntukan dari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Projek Rakyat, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan RMK12 bagi tahun 2022, DBKU turut melaksanakan projek-projek fizikal yang dibahagikan kepada lima kategori iaitu jalan, parit, bangunan, lampu hijau dan landskap.
DBKU katanya juga melaksanakan projek lampu jalan LED pintar di bawah projek Pengindahan Kampung Nombor melibatkan pemasangan 210 unit lampu di Jalan Patinggan, Jalan Muhibbah, Jalan Datuk Ajibah Abol, Jalan Haji Mataim, Jalan Muda Hashim, Jalan Bolhassan, Jalan Patinggi Ali, Jalan Haji Kassan dan Jalan Tanjung.
Sistem ini mempunyai fungsi untuk mengawal kadar kecerahan lampu dan mempunyai keupayaan untuk menutup atau mengaktifkan lampu tersebut secara dalam talian daripada mana-mana tempat.
Hadir sama Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan dan Pemangku Pengarah DBKU Mohd Khaider Abang serta warga DBKU yang lain.
utusanborneo.com.my/2021/10/21
|