[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 19, 2021 @ 1:53pm[email protected]
Mohamad Shakir (kanan) menerima trofi daripada Ahmad Fuzi (tengah) sambil disaksikan Ahmad Zakiyuddin pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang secara maya, malam tadi. -Foto FB TYT
GEORGETOWN: Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang tahun ini.
Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak pada majlis yang diadakan secara maya dan hibrid melalui aplikasi Zoom, malam tadi.
Pada majlis berkenaan, Mohamad Shakir, 55, membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, sijil dan hadiah iringan.
Sebelum itu, acara yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIAPP) itu dimulai dengan bacaan doa dan surah Yasin diketuai Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Terdahulu, Ahmad Fuzi dalam ucapannya menggesa umat Islam di Pulau Pinang menghayati tema sambutan Maulidur Rasul iaitu 'Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti' walaupun diraikan secara maya tanpa perarakan.
Menurut Ahmad Fuzi, penerapan 'manhaj rabbani' dalam memangkin ummah berkualiti itu merujuk kepada tiga elemen utama keilmuan, kerohanian dan aktivitisme atau gerakan dakwah berteraskan 'amar makruf nahi mungkar.'
Pada masa sama, beliau turut menyeru umat Islam supaya meneladani akhlak yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dalam melaksanakan aktivisme.